Wednesday, November 30, 2011

BEBAS bantah undang-undang himpunan awam - PMIUM


Kuala Lumpur, 29 Nov 2011 : Hari ini Front BEBAS yang dipengerusikan oleh saudara Muhammad Safwan Anang@Talib dan sekumpulan mahasiswa berhimpun  bagi meluahkan bantahan terhadap penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2011.
Perhimpunan ini disertai juga  Peguam-peguam di seluruh negara yang berada di bawah naungan Majlis Peguam Malaysia di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur.
Turut sama hadir dalam perhimpunan bantahan ini adalah Ahmad Syukri Abd Razak (SMM) dan saudara Termizi (Pro M UPM) menyatakan bantahan terhadapa penggubalan terhadap akta tersebut kerana perkara ini telah melanggar hak dan demokrasi mahasiswa dan rakyat dalam menyuarakan pandangan.
NONERang undang-undang yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini untuk bacaan kali kedua dijangka akan diundi pada malam ini.
Sementara itu , Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menyatakan rang undang-undang itu akan merampas hak rakyat yang dijamin oleh perlembagaan.
Tambah beliau ,peguam di seluruh negara tidak sepatutnya hanya menyaksikan kebebasan rakyat disekat tanpa membuat sebarang tindakan.
Justeru, Majlis Peguam Malaysia telah mengerahkan anggotanya supaya berkumpul di Kelab Taman Perdana Diraja dan akan berjalan kaki menuju ke Parlimen sebagai menunjukkan bantahan mereka meskipun bersetuju membuat beberapa pindaan kecil.
Perarakan yang dinamakan ‘Walk for Freedom’, menyaksikan peguam-peguam berjalan sejauh kira-kira dua kilometer menuju ke bangunan Parlimen bermula jam 11.30 pagi ini.-pmium
Sumber : berita pmium

Tuesday, November 22, 2011

Pelancaran BEBAS : Kenyataan Media

Mahasiswa lancar BEBAS tuntut bebaskan akademik


KUALA LUMPUR, 22 Nov: Gabungan beberapa gerakan mahasiswa hari ini melancarkan 'Gerakan menuntut kebebasan akademik' atau Bebas dalam usaha memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa dan ahli akademik.Sempena pelancaran gerakan itu, mereka yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami) serta Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) di pejabag suruhanjaya itu di ibu negara pagi tadi.

Turut serta dalam Bebas adalah Pro Mahasiswa Nasional (ProMN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Kesatuan Aksi Mahasiswa (Aksi).

Menurut satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily, Pengerusinya, Muhammad Safwan Anang Talib berkata, terdapat dua prinsip asas yang diperjuangkan Bebas.

Pertama katanya, adalah bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.

"Kedua, institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib," katanya.

Sementara itu, dalam memorandum yang turut diserahkan kepada Suhakam pula, mereka menuntut enam perkara pokok yang ditafsirkan sebagai kebebasan kepada mahasiswa dan golongan akademik.

Ianya termasuk memansuhkan AUKU dan AKTA 174, membebaskan ilmuan berakademik, membebaskan mahasiswa bersuara, memberi hak mahasiswa mengurus pilihan raya kampus, membebaskan mahasiswa mengurus persatuan dan aktiviti dan memberi hak kepada mahasiswa berpartisipasi dalam politik. 



Sumber : Harakahdaily




Mahasiswa tubuh bebas tuntut hak


PETALING JAYA: Sebuah NGO baru Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik atau Bebas dilancarkan bagi menuntut kebebasan akademik di negara ini.


Bebas dipengerusikan Muhammad Safwan Anang Talib manakala Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai jurucakap.
Penubuhan Bebas disokong 10 persatuan mahasiwa termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Universiti Malaysia (PMIUM).
Selain kebebasan akademik, NGO pelajar universiti itu juga menuntut kebebasan dalam penyertaan politik termasuk menguruskan pilihan raya kampus.
Perjuangan Bebas berdasarkan  dua prinsip sebagai asas kebebasan berakademik :
. Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.
. Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib.

Mansuhkan Auku

Ini bermakna Bebas menuntut kerajaan memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dan Akta 174.
Katanya, peruntukan-peruntukan dalam Auku 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia.
“Ia juga  mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa,” kata Bebas  dalam satu kenyataan media hari ini.
Bebas menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan.
Para ilmuan menurut kenyataan itu mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.
“Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.
“Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan,” kata kenyataan itu lagi.

BEBAS : Prinsip Asas dan 6 Tuntutan

Jawatankuasa Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bersetuju untuk meletakkan dua prinsip utama yang menjadi asas kepada gerakan kebebasan akademik, iaitu :


1. Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum


2. Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib


Jawatankuasa BEBAS juga menyenaraikan 6 tuntutan utama gerakan, iaitu :


1) Mansuhkan AUKU dan AKTA 174


BEBAS berpendirian bahawa AUKU dan AKTA 174 perlu dimansuhkan berdasarkan dua teras berikut :


a. Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia


b. Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 yang mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa


2) Bebaskan ilmuan berakademik


BEBAS menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan dalam perkara-perkara berikut :


a. Para ilmuan mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.


b. Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.


c. Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan


3. Bebaskan mahasiswa bersuara

BEBAS menuntut mahasiswa diberi kebebasan bersuara dalam kerangka berikut:

a.   Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk belajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.

b. Mahasiswa mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.

c.    Mahasiswa bebas menjalankan apa jua aktiviti seperti demonstrasi, himpunan aman, rapat umum, seminar, diskusi dan lain-lain aktiviti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka

4. Bebaskan mahasiswa mengurus pilihanraya kampus

BEBAS menuntut supaya :

a.  Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk menjalankan pilihanraya kampus sendiri bagi memilih perwakilan pelajar yang bakal memimpin persatuan atau badan induk kepimpinan pelajar.

b.      Proses pemilihan pelajar ini dijalankan tanpa sebarang campurtangan daripada mana-mana pihak sama ada dari sudut sistem, teknikaliti, kempen, pembuangan undi, pencalonan dan lain-lain elemen dalam proses pemilihan yang hanya melibatkan mahasiswa.

5)      Bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan aktiviti

BEBAS menuntut supaya :

a.     Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk mengurus tadbir persatuan dan aktiviti persatuan atas kapasiti mahasiswa sendiri.

b.      Urus tadbir ini dijalankan oleh mahasiswa tanpa sebarang campurtangan mana-mana pihak termasuk pihak pentadbiran universiti.

c.       Hal ini merangkumi segala bentuk pentadbiran persatuan dan aktiviti, kewangan dan perbelanjaan, dana dan tajaan, pengisian dan aktiviti, penerbitan dan publisiti serta apa jua elemen-elemen lain di dalam urus tadbir persatuan.

6)      Bebaskan mahasiswa berpartisipasi dalam politik

BEBAS menuntut mahasiswa diberikan kebebasan berpartisipasi dalam politik sebagaimana berikut :

a.      Melibatkan diri atau menjalankan seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.

b.      Mahasiswa bebas mengemukakan resolusi, cadangan atau kritikan bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan.

c.       Mahasiswa bebas menjalankan penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.
Mahasiswa bebas menjalankan dan menyertai apa jua aktiviti di dalam dan luar universiti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka. 


Muhammad Safwan b. Anang @ Talib
Pengerusi
Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik
BEBAS

Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Berakademik (BEBAS)


Kebebasan berakademik adalah hak kebebasan yang diperuntukkan bagi ahli akademik bagi mengemukakan pandangan dengan apa jua ekspresi sesuai dengan standard profesionalisme yang dimiliki (Donald A. Downs, 2009). 

Hal ini lahir daripada tanggungjawab ahli akademik untuk bercakap dan mencabar idea konvensional dalam usaha memaknakan universiti sebagai model medan perdebatan terbuka kepada masyarakat umum.

Bertitik tolak daripada konotasi ini, kebebasan berakademik adalah terpakai bagi seluruh warga universiti termasuk mahasiswa, para pensyarah malah pihak universiti sendiri.  

Hak kebebasan berakademik ini dilindungi sepenuhnya oleh demokrasi liberal dengan meletakkan manusia boleh mendapatkan kebenaran dan ilmu tanpa batas. Hak ini juga selari dengan ruang hak yang diperuntukkan di dalam perlembagaan negara dan dijamin sepenuhnya oleh hak asasi manusia sebagaimana berikut :

(a) Every citizen has the right to freedom of speech and expression;
(b) all citizens have the right to assemble peaceably and without arms;
(c) all citizens have the right to form associations.

Justeru, mahasiswa dengan komited memperjuangkan hak kebebasan akademik melancarkan sebuah Gerakan Menuntut Kebebasan Berakademik (BEBAS) pada 22 November 2011 dan memorandum BEBAS diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)


BEBAS turut disokong oleh front-front mahasiswa, termasuklah :

SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)
KELAB RAKAN SISWA ISLAH MALAYSIA (KARISMA)
KUMPULAN AKTIVIS MAHASISWA INDEPENDEN (KAMI)
GERAKAN DEMOKRATIK BELIA DAN PELAJAR MALAYSIA (DEMA)
PRO-MAHASISWA NASIONAL (PRO-MN)
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA NASIONAL (MPMN)
LEGASI MAHASISWA PROGRESIF (LMP)
KESATUAN AKSI MAHASISWA (AKSI)

Friday, November 18, 2011

Mahasiswa sambut baik sistem penilaian wakil rakyat




MAHASISWA SAMBUT BAIK SISTEM PENILAIAN WAKIL RAKYAT

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyambut baik Projek Laporan Rakyat yang dilancarkan oleh Pusat Kajian Polisi Awam baru-baru ini. Saya memuji inisiatif CPPS dan NGO anak muda UndiMsia yang memulakan langkah pembaharuan dalam proses demokrasi dengan memperkenalkan suatu sistem penilaian bagi menilai keberkesanan perkhidmatan wakil rakyat di Malaysia.

Di Malaysia, ketidakadilan berlaku apabila tidak wujud suatu sistem di mana wakil rakyat yang dipilih sendiri oleh rakyat boleh dinilai secara khusus dari sudut pencapaian dan prestasi mereka. 


Adalah tidak adil bagi rakyat yang tidak berpuas hati berkenaan prestasi wakil rakyat kerana hanya mempunyai pilihan tunggal. Rakyat hanya boleh menunggu pilihanraya akan datang untuk mengundi wakil rakyat lain sebagai ganti. 

Justeru saya melihat Projek Laporan Rakyat ini bakal menjadi simbol transparensi dalam proses demokrasi di Malaysia. Selain boleh meningkatkan partisipasi rakyat, saya melihat projek ini bertindak sebagai amaran kepada wakil rakyat. Mana-mana wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas dengan baik, mempunyai pencapai yang merosot, menawarkan perkhidmatan yang tidak efisien bakal disingkir sendiri oleh rakyat tanpa perlu menunggu pilihanraya penggal akan datang.

Jika di universiti, mahasiswa akan dinilai dari sudut prestasi pembelajaran sama ada dalam ujian pertengahan semester atau peperiksaan akhir setiap semester. 


Malah, prestasi dan perkhidmatan para pensyarah juga dinilai sama ada memenuhi kualiti yang diperlukan universiti atau tidak. Apatah lagi wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, apakah mereka tidak boleh dinilai sendiri oleh rakyat?

Di peringkat mahasiswa, kami mencadangkan agar Projek Laporan Rakyat ini diiktiraf di peringkat kerajaan sebagai salah satu sistem penilaian perkhidmatan wakil rakyat yang mesti dijalankan di seluruh negara. 


Kami juga mencadangkan agar hasil laporan ini dibentangkan di peringkat kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menjadi perhatian masyarakat umum.

Namun, satu persoalan yang timbul ialah apakah tindakan seterusnya jika seseorang wakil rakyat dibuktikan oleh Projek Laporan Rakyat gagal memberi perkhidmatan yang baik? 


Justeru, suatu bentuk pembaharuan dalam demokrasi berkenaan tindakan atau penyingkiran wakil rakyat yang gagal memberi perkhidmatan yang baik juga perlu difikirkan bersama.


Disediakan oleh :

Muhammad Safwan b. Anang Talib
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

Najib, kajian populariti dan umpan politik



Masyarakat Malaysia hari ini tidak lagi boleh diumpan dengan kajian-kajian populariti yang bertujuan mencipta persepsi umum bahawa sememangnya seseorang pemimpin itu diterima ramai. Apa yang diinginkan sebenarnya bukanlah kajian populariti, tetapi kajian kualiti. 


Kajian terhadap keberkesanan kualiti kepimpinan kerajaan hari inilah yang perlu dilaksanakan dan disebarkan untuk perhatian umum. Bahkan ia perlu dijalankan sesegera mungkin memandangkan tempoh kepimpinan kerajaan hari ini sudah hampir ke penghujungnya.


Rakyat ingin tahu bagaimana pencapaian prestasi kerajaan dalam Indeks Prestasi Utama (KPI) terhadap Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Bagaimana pencapaian kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah? 


Bagaimana prestasi kerajaan untuk meluaskan akses pendidikan, meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah? Bagaimana pula usaha kerajaan untuk memperkasa prasana luar bandar dan pedalaman serta usaha menambah baik pengangkutan awam?


Dalam hal ini kepimpinan DS Najib tidak perlu bangga dengan angka-angka peningkatan populariti beliau dalam masa rakyat mempersoal prestasi kualiti beliau kini. Sebenarnya angka kajian populariti bukanlah suatu penanda aras yang baik untuk meletakkan kepimpinan beliau diterima sepenuhnya.


Cuba tanyakan kepada rakyat di pasar-pasar malam, peniaga-peniaga di ChowKit, pekerja-pekerja di restoran, guru, petani, pemandu teksi dan seluruh rakyat bawahan adakah mereka mampu menampung kos sara hidup mereka yang tinggi kini?


Cuba tanyakan kepada para wanita, para ibu, kanak-kanak, warga asing dan seluruh rakyat bawahan adakah mereka merasa selamat berjalan di ibu kota dengan meyakini bahawa tidak sebarang perbuatan jenayah di sekeliling mereka?


Cuba tanyakan kepada para graduan, penganggur, pelajar sekolah, mahasiswa dan seluruh rakyat adakah pendidikan yang mereka terima cukup berkualiti dengan kemampuan yang mereka ada?


Tanyakan kepada rakyat bagaimanakah pengalaman mereka menggunakan pengangkutan awam, dengan caj yang dikenakan? Adakah mereka berpuas hati?


Jawapannya sudah ada dalam minda anda semua. 


Berkualitikah kepimpinan? Atau sekadar popular atas nama mengambil duit rakyat. Popular menzalimi rakyat, popular menipu rakyat, popular memperbodohkan rakyat?


Persoalan-persoalan ini sengaja dilontar agar DS Najib tidak terus berada dalam zon selesa dengan populariti yang sengaja dicipta berbanding dengan kualiti yang masih menjadi tanda tanya. Kualiti kerajaan Najib kini harus direvisi supaya rakyat tidak mudah termakan dengan umpan populariti.


Oleh :


Muhammad Safwan b. Anang@Talib
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya
(PMIUM)