Friday, November 18, 2011

Mahasiswa sambut baik sistem penilaian wakil rakyat




MAHASISWA SAMBUT BAIK SISTEM PENILAIAN WAKIL RAKYAT

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyambut baik Projek Laporan Rakyat yang dilancarkan oleh Pusat Kajian Polisi Awam baru-baru ini. Saya memuji inisiatif CPPS dan NGO anak muda UndiMsia yang memulakan langkah pembaharuan dalam proses demokrasi dengan memperkenalkan suatu sistem penilaian bagi menilai keberkesanan perkhidmatan wakil rakyat di Malaysia.

Di Malaysia, ketidakadilan berlaku apabila tidak wujud suatu sistem di mana wakil rakyat yang dipilih sendiri oleh rakyat boleh dinilai secara khusus dari sudut pencapaian dan prestasi mereka. 


Adalah tidak adil bagi rakyat yang tidak berpuas hati berkenaan prestasi wakil rakyat kerana hanya mempunyai pilihan tunggal. Rakyat hanya boleh menunggu pilihanraya akan datang untuk mengundi wakil rakyat lain sebagai ganti. 

Justeru saya melihat Projek Laporan Rakyat ini bakal menjadi simbol transparensi dalam proses demokrasi di Malaysia. Selain boleh meningkatkan partisipasi rakyat, saya melihat projek ini bertindak sebagai amaran kepada wakil rakyat. Mana-mana wakil rakyat yang tidak menjalankan tugas dengan baik, mempunyai pencapai yang merosot, menawarkan perkhidmatan yang tidak efisien bakal disingkir sendiri oleh rakyat tanpa perlu menunggu pilihanraya penggal akan datang.

Jika di universiti, mahasiswa akan dinilai dari sudut prestasi pembelajaran sama ada dalam ujian pertengahan semester atau peperiksaan akhir setiap semester. 


Malah, prestasi dan perkhidmatan para pensyarah juga dinilai sama ada memenuhi kualiti yang diperlukan universiti atau tidak. Apatah lagi wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, apakah mereka tidak boleh dinilai sendiri oleh rakyat?

Di peringkat mahasiswa, kami mencadangkan agar Projek Laporan Rakyat ini diiktiraf di peringkat kerajaan sebagai salah satu sistem penilaian perkhidmatan wakil rakyat yang mesti dijalankan di seluruh negara. 


Kami juga mencadangkan agar hasil laporan ini dibentangkan di peringkat kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri untuk menjadi perhatian masyarakat umum.

Namun, satu persoalan yang timbul ialah apakah tindakan seterusnya jika seseorang wakil rakyat dibuktikan oleh Projek Laporan Rakyat gagal memberi perkhidmatan yang baik? 


Justeru, suatu bentuk pembaharuan dalam demokrasi berkenaan tindakan atau penyingkiran wakil rakyat yang gagal memberi perkhidmatan yang baik juga perlu difikirkan bersama.


Disediakan oleh :

Muhammad Safwan b. Anang Talib
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)

No comments:

Post a Comment