Tuesday, November 22, 2011

Pelancaran BEBAS : Kenyataan Media

Mahasiswa lancar BEBAS tuntut bebaskan akademik


KUALA LUMPUR, 22 Nov: Gabungan beberapa gerakan mahasiswa hari ini melancarkan 'Gerakan menuntut kebebasan akademik' atau Bebas dalam usaha memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa dan ahli akademik.Sempena pelancaran gerakan itu, mereka yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami) serta Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) di pejabag suruhanjaya itu di ibu negara pagi tadi.

Turut serta dalam Bebas adalah Pro Mahasiswa Nasional (ProMN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Kesatuan Aksi Mahasiswa (Aksi).

Menurut satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily, Pengerusinya, Muhammad Safwan Anang Talib berkata, terdapat dua prinsip asas yang diperjuangkan Bebas.

Pertama katanya, adalah bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.

"Kedua, institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib," katanya.

Sementara itu, dalam memorandum yang turut diserahkan kepada Suhakam pula, mereka menuntut enam perkara pokok yang ditafsirkan sebagai kebebasan kepada mahasiswa dan golongan akademik.

Ianya termasuk memansuhkan AUKU dan AKTA 174, membebaskan ilmuan berakademik, membebaskan mahasiswa bersuara, memberi hak mahasiswa mengurus pilihan raya kampus, membebaskan mahasiswa mengurus persatuan dan aktiviti dan memberi hak kepada mahasiswa berpartisipasi dalam politik. 



Sumber : Harakahdaily




Mahasiswa tubuh bebas tuntut hak


PETALING JAYA: Sebuah NGO baru Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik atau Bebas dilancarkan bagi menuntut kebebasan akademik di negara ini.


Bebas dipengerusikan Muhammad Safwan Anang Talib manakala Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai jurucakap.
Penubuhan Bebas disokong 10 persatuan mahasiwa termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Universiti Malaysia (PMIUM).
Selain kebebasan akademik, NGO pelajar universiti itu juga menuntut kebebasan dalam penyertaan politik termasuk menguruskan pilihan raya kampus.
Perjuangan Bebas berdasarkan  dua prinsip sebagai asas kebebasan berakademik :
. Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.
. Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib.

Mansuhkan Auku

Ini bermakna Bebas menuntut kerajaan memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dan Akta 174.
Katanya, peruntukan-peruntukan dalam Auku 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia.
“Ia juga  mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa,” kata Bebas  dalam satu kenyataan media hari ini.
Bebas menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan.
Para ilmuan menurut kenyataan itu mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.
“Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.
“Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan,” kata kenyataan itu lagi.

No comments:

Post a Comment