Monday, December 5, 2011

Pra PRU13 : Calon boleh menang perspektif mahasiswa






Mutakhir ini, perbincangan mengenai calon pilihanraya umum mula dibangkitkan di peringkat parti, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Di peringkat penganalisa politik, akar umbi dan kepimpinan parti mencadangkan agar calon boleh menang diketengahkan bahkan sehingga dilobi-lobi calon yang sedang naik popularitinya.


Calon boleh menang perspektif mahasiswa adalah mereka yang boleh mengembalikan ketulenan demokrasi yang bebas, bersih dan telus di Malaysia. Ketulenan ini termasuklah mempunyai prinsip yang jelas terhadap ideologi yang dianuti. Manifesto yang bakal dibawa bukan bersifat menggula-gulakan mana-mana pihak samada rakyat marhaen, mahupun mahasiswa dalam kerangka anak muda.


Dalam kerangka universiti dan kemahasiswaan, mahasiswa inginkan calon boleh menang yang mampu mengembalikan autonomi universiti, autonomi mahasiswa dan kebebasan akademik seperti yang tertakluk dalam tuntutan mahasiswa yang sedang kita usahakan.


Sehingga ke hari ini, kedua-dua pihak sama ada kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat gagal memberi pendirian dan keputusan yang jelas berkenaan tuntutan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). 


Sebagai contoh yang terpampang, apabila PR ingin mansuhkan AUKU tetapi dalam masa sama masih di sabitkan kesalahan AUKU terhadap 6 orang mahasiswa daripada KUIN di Kedah, salah sebuah negeri Pakatan Rakyat. 


 Pengumuman PM Najib untuk meminda seksyen 15 AUKU juga kelihatan retorik apabila rayuan kabinet terhadap kes UKM4 juga akan diteruskan. Nah, siapa yang mengguna-gunakan AUKU dan siapa ingin membebaskan mahasiswa daripada AUKU sebenarnya?


Di atas prinsip yang jelas, mahasiswa yang merupakan pengundi muda tidak teragak-agak untuk hanya memberikan undi kepada mereka yang jelas menyatakan pendirian terhadap kesemua tuntutan mahasiswa.


Tuntutan tersebut termasuklah, pemansuhkan AUKU dan akta yang terlibat, bebaskan ilmuan berakademik, bebaskan mahasiswa bersuara, memberi autonomi kepada mahasiswa untuk mengurus pilihanraya kampus serta mengurus tadbir persatuan dan aktiviti sendiri.




Muhammad Safwan b. Anang@Talib
Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)


Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya


Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)

No comments:

Post a Comment