Thursday, December 1, 2011

Pindaan AUKU tidak relevan




Saya berpendirian bahawa terdapat satu perkara penting yang harus kita teliti dalam menanggapi pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Perkara tersebut ialah berkenaan kebenaran menyertai parti politik.

Merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri pada 24 November di Dewan Rakyat, beliau menyebutkan bahawa kerajaan akan meminda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik.

Saya menggariskan tafsiran menyertai parti politik dengan makna seseorang mahasiswa diberi ruang dan dibolehkan menjadi ahli sesebuah parti politik, memegang jawatan tertentu di dalam parti politik atau bergerak secara aktif membantu parti politik serta apa sahaja kegiatan lain di dalam parti politik tertentu yang dianggotainya.

Walaubagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa menyertai parti politik bukanlah tuntutan utama dalam perjuangan mahasiswa menentang AUKU yang sudah berusia 40 tahun.

Saya ingin kerajaan melihat akta tersebut dengan pandangan mengakar dan mendasar. Perjuangan mahasiswa menuntut pemansuhan AUKU bukanlah hanya berbasiskan semangat ingin menganggotai parti politik.

Mahasiswa meletakkan beberapa prinsip jelas dalam menentang AUKU termasuklah menjunjung semangat perlembagaan negara yang menjamin hak kebebasan bagi warganegara. Dengan mewujudkan AUKU, kerajaan dengan sengaja menentang hak kebebasan yang diperuntukkan di dalam perlembagaan.

Antara lain, kedudukan mahasiswa sebagai mahasiswa itu sendiri meletakkan suatu garis yang jelas bahawa mahasiswa adalah mereka yang berilmu yang mempunyai nilai keintelektualan dan mempunyai kedudukan tersendiri dalam kalangan masyarakat. Maka dengan nilai yang tersendiri ini, mahasiswa secara rasminya diberi mandat oleh masyarakat untuk memainkan peranan sesuai dengan nilai mereka.

Sebagai contoh, mahasiswa diberi mandat sebagai agen semak imbang dalam negara. Dalam hal ini, mahasiswa seharusnya bebas dengan penuh tanggungjawab menyatakan pandangan, cadangan mahupun kritikan terhadap apa jua dasar dan polisi dalam sektor ekonomi, politik sosial dan lain-lain yang diputuskan dalam negara. 

Kebebasan dalam peranan 'check and balance' ini memberi erti bahawa mahasiswa tidak boleh diambil tindakan terhadap sebarang kenyataan yang dikeluarkan walaupun bersifat kontroversi, bertentangan dengan kerajaan atau pandangan awam di dalam atau di luar universiti.

Dua prinsip asas iaitu kebebasan dan ilmu ini menjadi tonggak perkembangan tamadun sesebuah negara. Negara yang maju dari sudut peradabannya adalah negara yang memberikan ilmuan kebebasan untuk bertindak atas rasional ilmiahnya hanya untuk kemaslahatan masyarakat. Kenyataan berasaskan hujah, kajian empirikal, penaakulan, observasi adalah tiang peradaban bagi negara yang menjunjung nilai keilmuan.

Dengan asas dua prinsip inilah maka mahasiswa menuntut agar AUKU dimansuhkan. Pandangan alam mahasiswa terhadap rasional tuntutan pemansuhan AUKU lebih luas daripada apa yang kerajaan fikirkan. 

Maka, dengan pandangan ini jugalah mahasiswa memandang pengumuman Perdana Menteri untuk meminda AUKU dengan matlamat membenarkan mahasiswa menyerti parti politik adalah tidak relevan dengan beberapa alasan.

Pertama, AUKU itu sendiri secara tidak langsung menafikan hak kebebasan dan nilai keilmuan mahasiswa dan para ahli akademik.

Kedua, matlamat membenarkan mahasiswa menyertai parti politik dengan tidak meminda keseluruhan akta yang berkait dengan hak kebebasan berakademik adalah berbaur kepentingan politik parti kerajaan.

Ketiga, mahasiswa menuntut AUKU dimansuhkan, bukan hanya dipinda.


Muhammad Safwan bin Anang Talib
Pengerusi
Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

2 comments:

  1. Dalam bertindak demi kebaikan, anda tidak perlu bersikap biadap dan kurang ajar. Gambar anda bersama Anwar Aljuburi secara tidak lansung memberikan andaian yang anda cuma menjadi barua kepada parti politik pembangkang yang hanya tahu menbangkang.

    ReplyDelete
  2. Assalam,

    Fair enough if you say UMNO brings complete disaster for your so called corruption and Justice.

    What you and your friends had done is totally rude. You are no different then the leaders of Americans who invade Iraq. Yet they called themselves as proud heroes. What a shame.....what a shame....

    ReplyDelete