Friday, August 19, 2011

Pelancaran Tabung Somalia PMIUM


KENYATAAN MEDIA
PELANCARAN “ TABUNG MAHASISWA UNTUK SOMALIA ”
19 OGOS 2011
19 RAMADHAN 1432 H 

PENDAHULUAN


Kami di pihak Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) bersama-sama beberapa persatuan dan “Front” mahasiswa antaranya yang turut bersama adalah Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) melancarkan “ Tabung Mahasiswa Untuk Somalia  bagi membantu rakyat Somalia yang berhadapan dengan pelbagai masalah antaranya kebuluran akibat musim kemarau yang telah berpanjangan sehingga merosakkan sumber rezeki utama mereka iaitu pertanian dan ternakan. 

KANDUNGAN 

1.Somalia yang berhadapan dengan pergolakan

Mereka juga berhadapan dengan keganasan dan pergolakan politik dalaman di tanah air mereka sendiri. Tabung ini tidak lain bertujuan untuk meringankan penderitaan rakyat Somalia akibat kemarau dan kekurangan bekalan makanan sejak sebulan yang lalu, setiap hari ribuan orang terpaksa menjadi pelarian dan menuju ke negara jiran.

Kita diperingkat mahasiswa tahu masalah utama yang berlaku di Somalia disebabkan masalah politik yang tidak stabil dan rakyat telah menderita, ramai yang menjadi pelarian justeru kita harap sumbangan ini dapat membantu mereka dan kita harap rakyat Malaysia dapat memberikan bantuan dalam bentuk wang tunai terutamanya untuk kita sumbangkan kepada saluran yang sedia ada mereka juga boleh membeli keperluan asas seperti makanan untuk dihantar terus ke Somalia.

2. Bantuan perlu disegerakan

Ini adalah keperluan mendesak dan bantuan perlu disegerakan untuk membantu mereka di sana yang mana kalau kita lihat setiap hari pasti akan ada orang yang meninggal dunia terutamanya kanak-kanak kerana tidak mendapat makanan. Perkara ini sangat kami risaukan akan bertambah buruk jika sekiranya bantuan juga lambat sampai. Bagaimanapun rakyat Somalia juga memerlukan keperluan-keperluan lain termasuk bekalan air bersih, rawatan kesihatan dan tempat tinggal yang memadai.

3. Inisiatif mahasiswa turut membantu

Justeru, dengan pelancaran “ Tabung Mahasiswa Untuk Somalia ” ini kami akan turun ke kawasan umum antaranya kawasan sekitar hentian bas, teksi dan LRT di sekitar bandaraya Kuala Lumpur seperti di Masjid Jamek, Pasar Seni, Kuala Lumpur Sentral, Hentian Puduraya dan begitu juga di kawasan-kawasan kemudahan awam yang lain. Kawasan kampus tidak menjadi tumpuan memandangkan sekarang kebanyakan IPTA masih lagi dalam fasa cuti semester dan akan kembali ke kampus bulan 9 nanti.

Fokus utama kami di peringkat mahasiswa adalah untuk mengumpul sebanyak mungkin dana untuk disalurkan kepada rakyat Somalia. Kami sasarkan kuitipan akan mencecah RM10 000 dan kutipan ini akan terus berjalan sepanjang Ramadhan ini. Walaubagaimanapun kutipan derma Tabung Mahasiswa Untuk Somalia ini akan diteruskan juga di bulan Syawal nanti dan lainnya sehinggalah mencapai sasaran yang kita letakkan.

4. Mahasiswa menyambut baik usaha-usaha NGO yang terlibat sama.

Di samping itu juga, peringkat kami mahasiswa positif dengan usaha ini untuk memupuk budaya simpati dan yang paling utama adalah kesedaran untuk membantu saudara seislam walau dipisahkan dengan sempadan dan berbeza warna kulit sekalipun.

Kami juga menyambut baik usaha-usaha daripada kalangan NGO-NGO yang sama-sama melancarkan kutipan derma di seluruh Negara menampakkan sikap cakna dan menunjukkan betapa prihatinnya rakyat Malaysia mengenai isu sejagat ini.
 
PENUTUP

Justeru kami mengharapkan sokongan daripada semua pihak untuk turut sama menghulurkan sumbangan kepada “ Tabung Mahasiswa Untuk Somalia ” ini dalam usaha kita membantu rakyat Somalia dan Negara jiran yang turut sama terlibat dalam krisis kemanusiaan ini.

Sekian terima kasih.

Disediakan oleh  

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib,
Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

Dengan kerjasama :

Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia

Turut disokong penuh oleh ;
  1. Pro-Mahasiswa Universiti Malaya
  2. Pro-Mahasiswa Universiti Putra Malaysia
  3. Team Elit Muslim
  4. Briged Putra Nasional

No comments:

Post a Comment