Monday, September 5, 2011

Mahasiswa tak iktiraf Jawatankuasa Pemilih Parlimen


MAHASISWA TIDAK PERNAH MENGIKTIRAF JAWATANKUASA PEMILIH PARLIMEN

Kami diperingkat Pmium merasa terpanggil untuk melontarkan pandangan mengenai cadangan penubuhan Jawatankuasa Pemilih Parlimen baru-baru ini. Jika benar kerajaan telus dalam usaha mereformasikan sistem Pilihanraya di Malaysia, kerajaan hanya perlu melaksanakan semua tuntutan bersama rakyat dalam himpunan Bersih 2.0 pada Julai lalu melalui Suruhanjaya Pilihanraya. 

Tindakan menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemilih Parlimen seolah-olah meremehkan perjuangan rakyat melalui tuntutan Bersih sedangkan tuntutan tersebut dibuat dengan penuh penelitian dan pertimbangan.

Biarpun 8 tuntutan Bersih 2.0 dijadikan rangka kerja dasar, Mahasiswa berpandangan penubuhan JK Khas tersebut sebagai satu lagi jalan untuk kerajaan bermain tariktali bagi melengahkan tuntutan rakyat.

Penubuhan JK Khas yang anggotanya terdiri daripada ahli Parlimen juga dilihat sebagai retorik yang sangat dangkal. Jika benar jawatan kuasa ini ditubuh atas dasar keprihatinan terhadap tuntutan rakyat, mahasiswa berpandangan Jawatankuasa ini perlu bersifat Non Partisan. Oleh itu anggota jawatankuasa sepatutnya dipilih daripada individu yang tidak terikat dengan mana-mana kepentingan politik dan memiliki kepakaran khusus dalam bidang politik dan pengurusan pilihanraya Malaysia.

Kenyataan PM yang mengatakan Pilihanraya Umum 13 boleh diadakan pada bila-bila masa tanpa terikat dengan keputusan JK Khas Parlimen juga mendedahkan niat sebenar penubuhan Jawatankuasa tersebut.  Ini menunjukkan apa juga output yang bakal dihasilkan oleh Jawatankuasa tersebut boleh dibakul sampahkan oleh Kabinet sekiranya PRU 13 diadakan sebelum Jawatankuasa tersebut selesai melakukan tugas. Mahasiswa melihat JK Khas tersebut hanya akan bermakna sekiranya hasil siasatan mampu mempengaruhi perjalanan PRU 13.

Kenyataan Pengerusi  SPR  juga bersifat terlalu angkuh apabila mengatakan SPR bebas untuk memilih samada ingin menerima atau menolak hasil cadangan JK Khas Parlimen. Kenyataan ini  dilihat amat tidak bertanggungjawab bagi sebuah badan yang integritinya sedang dikritik hebat oleh banyak pihak. Kenyataan ini juga dilihat akan lebih menjatuhkan kredibiliti SPR sebagai badan pengurus pilihanraya memandangkan tindakan SPR yang sebelum ini bersifat terlalu dingin dengan tuntutan rakyat.

Mahasiswa juga menyokong penuh tindakan Pakatan Rakyat yang berpendirian untuk memulaukan JK Khas Parlimen ini. Bagi mahasiswa, tindakan PM yang pernah mempelawa Bersih 2.0 untuk menggunakan stadium bagi mengadakan perhimpunan aman adalah satu pengajaran yang perlu diberi perhatian oleh semua pejuang rakyat. Penubuhan JK Khas parlimen ini merupakan satu lagi sandiwara Kerajaan dalam mengendurkan semangat perjuangan rakyat yang semakin sedar dan berani dalam menyuarakan hak terhadap demokrasi tulen dan adil.

Sekian. Salam demokrasi!

Yang Benar

MUHAMMAD SAFWAN BIN ANANG @ TALIB
PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA

No comments:

Post a Comment