Monday, October 24, 2011

Kebebasan berakademik dalam dunia demokrasi


Universiti boleh dianalogi sebagai sebuah makmal untuk menguji dan mengkaji apa, bagaimana dan mengapa sesuatu itu dikatakan benar dan salah. Oleh itu, universiti sepatutnya menjadi tempat yang paling efisien bagi para pejuang kebenaran untuk sama-sama bersaing idea dan ketinggian intelektual. Ia bertujuan untuk membuktikan kebenaran dan hakikat secara bebas tanpa pengaruh kecenderungan politik.

Pandangan seseorang ahli dari universiti atau yang disebut sebagai ahli akademik seharusnya diambil kira atas dasar nilai intelektual. Kritikan ilmiah yang lahir dari penyelidikan empirikal mereka sendiri secara logik akal manusia biasa adalah boleh diterima. 

Apa yang tidak masuk akal ialah wujud tindakan mengekang kritikan ilmiah dari tokoh akademik berintegriti atas tujuan tertentu yang bagi saya adalah bermotifkan politik. Tindakan tidak rasional ini dengan jelas bertentangan dengan asas penubuhan universiti sendiri, apatah lagi ia sangat jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

Saya menyangkal pandangan yang mengatakan Malaysia sebuah negara demokrasi membangun. Jika diteliti, yang membangun hanyalah dari sudut sistemnya. Hakikatnya Malaysia sama sekali mundur dari sudut nilai demokrasi dan ketamadunan politik. 

Pemerintah di Malaysia hanya meraikan ahli akademik 'kaki ampu' yang hanya mengangguk dan menadah tangan menunggu gaji bila tiba tempohnya. Manakala ahli akademik yang mandiri dan lantang mengkritik dianggap sebagai penghasut malah mengancam keselamatan negara.

Di Malaysia, pencabulan terhadap kebebasan akademik jelas menambah bukti negara menghadapi kemunduran nilai demokrasi. Isu penggantungan Prof Aziz Bari, pensyarah dan pakar perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi salah satu kayu ukur pencabulan hak kebebasan tersebut.

Pakar perlembagaan tersebut digantung atas sebab mengulas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemeriksaaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu. Beliau dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Prof Aziz Bari dengan kepakaran beliau berhak menyatakan pandangan dan kritikan beliau atas nilai intelektual yang ada. Krtikan ini tidak seharusnya disusuli dengan menggantung tugas. Tindakan yang dibuat oleh kerajaan ini menampakkan ada riak ketakutan dan rasa terancam kerajaan terhadap beliau dan pengaruh pandangannya terhadap politik di Malaysia.

Adalah tidak pelik jika kita mengatakan bahawa kerajaan merasa terancam dengan pemikir-pemikir yang berani. Kerana sejarah telahpun mencatatkan bahawa musuh yang paling menggentarkan sebuah kerajaan yang zalim bukanlah bala tentera tetapi golongan terpelajar, ahli akademia, para inteligensia yang boleh membangun revolusi rakyat dengan ilmunya.

Jika mahasiswa bersuara lalu dicabul haknya, mahasiswa akan bangun membela. Jika tokoh akademik bersuara lalu dikerat lidahnya, seluruh mahasiswa dan masyarakat akan bangkit memperjuang nasib hingga ke akhirnya! Bersama menerajui perubahan!

Muhammad Safwan b. Anang Talib
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

Monday, October 17, 2011

Hudud solusi kebejatan sosial

Setiap orang pasti idea pandang sendiri bila menyentuh perkaitan hudud yang kononnya sensitif dibincang di negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Ada yang 'soksek-soksek' dalam kelambu, ada yang wacanakan, ada yang jadikan judul perbincangan di laman sosial, berdegar-degar memberi komentar tanpa ilmu dan kefahaman. 

Tidak kurang juga ada yang menikus untuk bincang. Hudud adalah sistem perundangan yang perlu diyakini semua. Ianya bukan sahaja menepati maqasid syariah untuk kehidupan muslim malah mampu menjaga kesejagatan negara.

Hudud bukan milik mana-mana parti politik untuk dipolemikkan sebagai gula-gula pilihanraya. Tapi tanggungjawab pemerintah untuk dilaksanakan. Ya, kita tidak berada dalam zon yang selesa dan betul-betul bersedia untuk laksanakan undang-undang ini seperti Brunei. 

Saya juga bersetuju bahawa majoriti masyarakat Islam di Malaysia tidak memahami dengan jelas apa itu hudud dan yang berkaitan dengannya. Namun apa langkah strategik pihak berwajib untuk sekolahkan minda dan kefahaman masyarakat?

HUDUD SOLUSI KEBEJATAN SOSIAL

Hudud bukanlah hukuman yang kejam. Tapi perlaksanaan hudud tujuannya ingin mendidik masyarakat. Contohnya kenapa hukuman yang dijalankan perlu dilakukan di khalayak ramai? Apa bezanya hukuman gantung sampai mati yang dilaksanakan di dalam bilik gelap dan hanya disaksikan algojo dengan hukuman pancung sampai mati yang dilakukan di khalayak ramai? 


Semestinya tontonan pada khalayak bukan ingin mengaibkan tapi untuk memberi pengajaran kepada masyarakat akan akibat melakukan jenayah. Inilah pendidikan yang terbaik untuk mengubat masalah sosial yang kian membarah dalam masyarakat. Langsung tidak memberi kesan jika ditangkap khalwat didenda RM 300!


KERAJAAN NAJIB TIDAK SERIUS

Cukuplah beralasan "Negara kita belum bersedia". Persoalannya bila Kerajaan akan bersedia? Pada saya DS Najib langsung tidak serius untuk menangani masalah ini bahkan jawapan yang diberikan hanya untuk selamatkan diri. 


Kerajaan Negeri Kelantan saban tahun akan mengadakan Hari Hudud dan tidak pernah Kerajaan Pusat ambil endah tapi kenapa kali ini menggelabah dan memberi alasan-alasan menikus. Seolah-olah survival politik UMNO mula tergugat menjelang PRU 13. 


DS Najib perlu buktikan bahawa hudud juga wawasan beliau dengan menyediakan plan bertindak untuk mencapai zon selesa akhirnya membolehkan hudud dilaksanakan. Andai benar serius, ubah silibus sistem pendidikan negara dengan meletakkan sub topik berkaitan hudud dalam buku teks dan peperiksaan. Didik masyarakat dan generasi dengan kefahaman yang benar!

TAHNIAH TGNA DAN BRUNEI

Tahniah buat Kerajaan Negeri Kelantan yang benar-benar bertekad ingin laksanakan undang-undang syariah. Seharusnya Kerajaan Pusat menyokong penuh hasrat ini kerana inilah sesi pendidikan buat masyarakat. 


Andai 'eksperimen' ini berhasil dan terbukti mengurangkan kadar jenayah, secara tidak langsung ianya memberi pendedahan buat masyarakat apa itu hudud.

Tahniah juga buat Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah yang menitahkan supaya undang-undang syariah dilaksanakan di Brunei bahkan ditekankan bahawa tidak perlu lagi bertangguh!

Cukuplah 54 tahun kita bertangguh. Sudah tiba masa untuk menuju ketamadunan negara. Bersama menerajui perubahan!


Muhammad Safwan bin Anang @ Talib
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

Saturday, October 8, 2011

Bajet 2012 : Bajet P.Ramlee


Bajet 2012 kali ini seolah-olah menggambarkan apa yang sebenarnya terkandung dalam pemikiran Perdana Menteri kita sepertimana dialog dalam filem P Ramlee yang masyhur, “ budak-budak tak boleh pegang duit banyak-banyak ”. 

Justeru, mahasiswa sekali lagi kecewa dengan pembentangan bajet kali ini yang juga seolah-olah tidak langsung memikirkan soal pembinaan generasi akan datang. Boleh jadi kerajaan sekarang beranggapan mahasiswa tidak boleh terlalu selesa, nanti mereka malas belajar.

Cadangan peringkat kita mahasiswa sebelum ini antaranya seperti pemberian pinjaman Ptptn mengikut zon berdasarkan kenaikan kos sara hidup mutakhir ini, namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi. Belum lagi kita cadang supaya PTPTN diubah menjadi biasiswa! 

Lahirlah pelacur daripada kalangan mahasiswi yang rata-rata tidak sanggup untuk berhadapan dengan krisis kewangan walaupun telah menuntut ke menara gading. Boleh jadi ianya bukan menara gading lagi, tapi menara taring yang misinya membunuh masa depan mahasiswa dan belia remaja! Banyak lagi berita-berita di dada akhbar yang mengejutkan kita, ada yang jadi keldai dadah kerana bayarannya sangat lumayan dan tidak kurang ada yang sanggup menjadi pencuri kecil-kecilan di kampus!

Mana tidaknya, sebaik sahaja mahasiswa keluar bergraduasi mereka sudah punyai belenggu hutang kiri dan kanan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit. Mahasiswa juga dikenali sebagai OKU iaitu orang kuat utang!

Pendirian di peringkat mahasiswa adalah untuk pihak kerajaan mempertimbangkan soal yuran pengajian di universiti. Sebagai contoh mudah, yuran internet dan ICT di sebuah IPTA sehingga mencecah RM100 untuk satu semester. Dalam masa sama juga dikenakan yuran perpustakaan RM100. Tidak kurang lagi bas universiti pun dikenakan kos perkhidmatan. Bas kilang pun percuma,ini pula bas universiti! 

Boleh jadi ia jumlah yang tidak besar di mata para Menteri dan mereka yang menaiki kereta import yang mewah, namun ia adalah beban di peringkat kami mahasiswa! Ada yang ikat perut dek kerana kos sara hidup benar-benar menjerut kehidupan mahasiswa terutama mereka yang berada di lokaliti Lembah Klang. 

Kenapa tidak kerajaan memperuntukkan sejumlah bajet bagi menampung kos kemudahan internet dan ICT di IPT-IPT ini? Bukankah kerajaan sebelum ini beria-ria sangat mahu memperkenalkan emel percuma kepada seluruh rakyat Malaysia? Mana mahu guna emel tanpa internet! 

Nah, itulah persoalannya. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga pula. Malang sungguh mahasiswa di Malaysia! Bukan tidak bersyukur dengan kerajaan yang memberikan baucer RM200 untuk pembelian buku melalui syarikat kroni ini, tetapi tidak lagi percaya. Jom ubah kerajaan sekarang!


Penulis adalah ; 

MUHAMMAD SAFWAN BIN ANANG @ TALIB
PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA