Monday, October 17, 2011

Hudud solusi kebejatan sosial

Setiap orang pasti idea pandang sendiri bila menyentuh perkaitan hudud yang kononnya sensitif dibincang di negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia. Ada yang 'soksek-soksek' dalam kelambu, ada yang wacanakan, ada yang jadikan judul perbincangan di laman sosial, berdegar-degar memberi komentar tanpa ilmu dan kefahaman. 

Tidak kurang juga ada yang menikus untuk bincang. Hudud adalah sistem perundangan yang perlu diyakini semua. Ianya bukan sahaja menepati maqasid syariah untuk kehidupan muslim malah mampu menjaga kesejagatan negara.

Hudud bukan milik mana-mana parti politik untuk dipolemikkan sebagai gula-gula pilihanraya. Tapi tanggungjawab pemerintah untuk dilaksanakan. Ya, kita tidak berada dalam zon yang selesa dan betul-betul bersedia untuk laksanakan undang-undang ini seperti Brunei. 

Saya juga bersetuju bahawa majoriti masyarakat Islam di Malaysia tidak memahami dengan jelas apa itu hudud dan yang berkaitan dengannya. Namun apa langkah strategik pihak berwajib untuk sekolahkan minda dan kefahaman masyarakat?

HUDUD SOLUSI KEBEJATAN SOSIAL

Hudud bukanlah hukuman yang kejam. Tapi perlaksanaan hudud tujuannya ingin mendidik masyarakat. Contohnya kenapa hukuman yang dijalankan perlu dilakukan di khalayak ramai? Apa bezanya hukuman gantung sampai mati yang dilaksanakan di dalam bilik gelap dan hanya disaksikan algojo dengan hukuman pancung sampai mati yang dilakukan di khalayak ramai? 


Semestinya tontonan pada khalayak bukan ingin mengaibkan tapi untuk memberi pengajaran kepada masyarakat akan akibat melakukan jenayah. Inilah pendidikan yang terbaik untuk mengubat masalah sosial yang kian membarah dalam masyarakat. Langsung tidak memberi kesan jika ditangkap khalwat didenda RM 300!


KERAJAAN NAJIB TIDAK SERIUS

Cukuplah beralasan "Negara kita belum bersedia". Persoalannya bila Kerajaan akan bersedia? Pada saya DS Najib langsung tidak serius untuk menangani masalah ini bahkan jawapan yang diberikan hanya untuk selamatkan diri. 


Kerajaan Negeri Kelantan saban tahun akan mengadakan Hari Hudud dan tidak pernah Kerajaan Pusat ambil endah tapi kenapa kali ini menggelabah dan memberi alasan-alasan menikus. Seolah-olah survival politik UMNO mula tergugat menjelang PRU 13. 


DS Najib perlu buktikan bahawa hudud juga wawasan beliau dengan menyediakan plan bertindak untuk mencapai zon selesa akhirnya membolehkan hudud dilaksanakan. Andai benar serius, ubah silibus sistem pendidikan negara dengan meletakkan sub topik berkaitan hudud dalam buku teks dan peperiksaan. Didik masyarakat dan generasi dengan kefahaman yang benar!

TAHNIAH TGNA DAN BRUNEI

Tahniah buat Kerajaan Negeri Kelantan yang benar-benar bertekad ingin laksanakan undang-undang syariah. Seharusnya Kerajaan Pusat menyokong penuh hasrat ini kerana inilah sesi pendidikan buat masyarakat. 


Andai 'eksperimen' ini berhasil dan terbukti mengurangkan kadar jenayah, secara tidak langsung ianya memberi pendedahan buat masyarakat apa itu hudud.

Tahniah juga buat Sultan Brunei Sultan Hasanal Bolkiah yang menitahkan supaya undang-undang syariah dilaksanakan di Brunei bahkan ditekankan bahawa tidak perlu lagi bertangguh!

Cukuplah 54 tahun kita bertangguh. Sudah tiba masa untuk menuju ketamadunan negara. Bersama menerajui perubahan!


Muhammad Safwan bin Anang @ Talib
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment