Monday, October 24, 2011

Kebebasan berakademik dalam dunia demokrasi


Universiti boleh dianalogi sebagai sebuah makmal untuk menguji dan mengkaji apa, bagaimana dan mengapa sesuatu itu dikatakan benar dan salah. Oleh itu, universiti sepatutnya menjadi tempat yang paling efisien bagi para pejuang kebenaran untuk sama-sama bersaing idea dan ketinggian intelektual. Ia bertujuan untuk membuktikan kebenaran dan hakikat secara bebas tanpa pengaruh kecenderungan politik.

Pandangan seseorang ahli dari universiti atau yang disebut sebagai ahli akademik seharusnya diambil kira atas dasar nilai intelektual. Kritikan ilmiah yang lahir dari penyelidikan empirikal mereka sendiri secara logik akal manusia biasa adalah boleh diterima. 

Apa yang tidak masuk akal ialah wujud tindakan mengekang kritikan ilmiah dari tokoh akademik berintegriti atas tujuan tertentu yang bagi saya adalah bermotifkan politik. Tindakan tidak rasional ini dengan jelas bertentangan dengan asas penubuhan universiti sendiri, apatah lagi ia sangat jelas bertentangan dengan hak asasi manusia.

Saya menyangkal pandangan yang mengatakan Malaysia sebuah negara demokrasi membangun. Jika diteliti, yang membangun hanyalah dari sudut sistemnya. Hakikatnya Malaysia sama sekali mundur dari sudut nilai demokrasi dan ketamadunan politik. 

Pemerintah di Malaysia hanya meraikan ahli akademik 'kaki ampu' yang hanya mengangguk dan menadah tangan menunggu gaji bila tiba tempohnya. Manakala ahli akademik yang mandiri dan lantang mengkritik dianggap sebagai penghasut malah mengancam keselamatan negara.

Di Malaysia, pencabulan terhadap kebebasan akademik jelas menambah bukti negara menghadapi kemunduran nilai demokrasi. Isu penggantungan Prof Aziz Bari, pensyarah dan pakar perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi salah satu kayu ukur pencabulan hak kebebasan tersebut.

Pakar perlembagaan tersebut digantung atas sebab mengulas titah Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pemeriksaaan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama pada 3 Ogos lalu. Beliau dipetik berkata, Sultan Selangor sebagai ketua agama negeri mempunyai hak campurtangan tetapi ia perlu selaras dengan ajaran Islam.

Prof Aziz Bari dengan kepakaran beliau berhak menyatakan pandangan dan kritikan beliau atas nilai intelektual yang ada. Krtikan ini tidak seharusnya disusuli dengan menggantung tugas. Tindakan yang dibuat oleh kerajaan ini menampakkan ada riak ketakutan dan rasa terancam kerajaan terhadap beliau dan pengaruh pandangannya terhadap politik di Malaysia.

Adalah tidak pelik jika kita mengatakan bahawa kerajaan merasa terancam dengan pemikir-pemikir yang berani. Kerana sejarah telahpun mencatatkan bahawa musuh yang paling menggentarkan sebuah kerajaan yang zalim bukanlah bala tentera tetapi golongan terpelajar, ahli akademia, para inteligensia yang boleh membangun revolusi rakyat dengan ilmunya.

Jika mahasiswa bersuara lalu dicabul haknya, mahasiswa akan bangun membela. Jika tokoh akademik bersuara lalu dikerat lidahnya, seluruh mahasiswa dan masyarakat akan bangkit memperjuang nasib hingga ke akhirnya! Bersama menerajui perubahan!

Muhammad Safwan b. Anang Talib
Presiden
Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya

No comments:

Post a Comment