Friday, July 29, 2011

Biometrik daripada poket kuning rakyat!

Saya rasa terpanggil untuk memberi pandangan mengenai isu penggunaan sistem Biometrik yang dicanang-canang akan digunakan dalam PRU-13 akan datang. Bahkan isyarat awal tergambar jelas apabila Perdana Menteri sendiri yang menyatakan akan meluluskan sejumlah peruntukan untuk perbelanjaan sistem ini akan datang.

Saya juga merasa tertanya-tanya apabila Perdana Menteri sendiri difahamkan berpendirian tegas dalam menyokong usaha menggunakan sistem yang belum ternyata telus ini. Beliau dipetik menyebut," Kalau nak buat penambahbaikan kita akan buat. Kita akan buat yang terbaik (dengan menggunakan biometrik bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih) walaupun negara-negara maju pun tak buat."

Kerajaan seharusnya menerima cadangan yang lebih realistik dalam menangani isu pengundi hantu dan pengundi bertindih (yang boleh mengundi lebih dari sekali). Bahkan telah banyak bukti-bukti jelas yang menunjukkan lemahnya sistem yang sedia ada sekarang. 

SPR juga perlu telus dalam hal ini.Malah Perdana Menteri juga mendakwa bahawa Pakatan Rakyat sengaja membangkitkan isu pilihan raya yang bersih di negara ini ekoran kekalahan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini di tangan kerajaan.

"Di peringkat nasional, kita (Barisan Nasional-BN) ada masa dapat undi banyak ada masa undi sikit. Tetapi majoriti masih di tangan kita. Kalau kita boleh jamin kita boleh menang, tidak adalah menteri kalah (pilihan raya) dan ada negeri kalah," katanya lagi. 

Kenyataan sinis ini tidak sedikit pun akan memberi kesan kepada tuntutan rakyat selama ini. Ini bukan soal menang atau kalah, ini adalah soal prinsip keadilan yang kita tuntut. Bahkan tuntutan untuk sebuah pilihan raya yang adil dan telus bukanlah satu perkara baru. Malah ia adalah tuntutan tidak berkesudahan rakyat yang terus dinafikan sehingga ke hari ini.

Kenyataan ini senada dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sering mempertahan bahawa mereka adalah badan yang bebas dan telus namun tidak pula sanggup akur dengan tuntutan rakyat yang selama ini memandang isu ketelusan SPR ini sangat berkait rapat dengan periuk nasi mereka. Pemerintah pula berjalan angkuh dengan permaidani merah mereka!

Bahkan mereka tanpa segan silu melabelkan pembangkang dan Bersih 2.0 mempunyai agenda tertentu di sebalik lapan tuntutan yang dibuat antaranya adalah penggunaan dakwat kekal dalam menangani masalah pengundi hantu. 

Kita yakin, cadangan ini hanya dibakulsampahkan oleh pihak yang berkepentingan ini! Betapa jauh lebih rendah kos penggunaan dakwat kekal ini berbanding sistem biometrik yang ternyata akan menjangkau jutaan ringgit. Ia juga bakal dikaut daripada poket kuning rakyat!

Thursday, July 14, 2011

Kebangkitan golongan intelektual muda



Saya merasakan bahawa kita perlu memberikan konotasi yang kritikal terhadap istilah golongan intelektual muda agar setanding dengan nilai dan fungsi golongan ini terhadap masyarakat. 

Saya tidak mahu menyempitkan ruang lingkup perbincangan dengan hanya meletakkan latarbelakang pengajian sama ada formal atau tidak formal sebagai tanda aras golongan ini.

Pada pandangan saya, apa yang perlu diberi perhatian ialah sejauhmana mereka yang mempunyai latarbelakang pengajian ini memberi kesan terhadap masyarakat dan negara. 

Raja Ahmad Aminullah dalam bukunya Minda Tertawan meletakkan lima ciri penting golongan intelektual, termasuklah memiliki pengetahuan tinggi, mempunyai keupayaan untuk menelaah permasalahan masyarakatnya, mampu mengemukakan saranan-saranan untuk pembaikan, mempunyai komitmen dan iltizam yang tinggi terhadap masyarakat dan mempunyai keupayaan serta keberanian untuk menyampaikan hujah dan nasihat-nasihat kepada penguasa!

Konotasi yang merangkumi ciri yang kritikal ini sepatutnya menyedarkan mereka yang menganggap diri sebagai golongan intelektual mengoreksi semula diri. Mereka yang mengangkat diri sebagai golongan intelektual seharusnya malu jika sekiranya ketinggian pendidikan formal yang sudah mereka capai tidak setanding dengan fungsi mereka kepada masyarakat dan negara.

Lebih memalukan apabila para intelektual sanggup menjual nilai harga intelektual itu demi kepentingan peribadi atau kepentingan periuk nasi. Kita tidak dapat menafikan fenomena para intelektual 'plastik' ini berlaku dalam negara kita. Para intelektual 'plastik' lebih sanggup melihat kehancuran masyarakat dan negara demi memastikan survival mereka terjaga.

Walaubagaimanapun akhir-akhir ini kita sudah mendengar suara-suara keramat kelompok inteligensia yang sudah berani menyampaikan nasihat dan kritikan kepada penguasa. 

Kebangkitan golongan intelektual ini amat mengujakan, bermula dengan tampilnya Sasterawan Negara A. Samad Said, diikuti oleh para sasterawan yang lain. Tidak ketinggalan juga para agamawan muda, para doktor, para peguam, para pensyarah, penjawat kakitangan awam dan lain-lain kelompok yang sedar dan bangkit menentang kezaliman.

Femonena kebangkitan ini mengingatkan kita kepada sejarah lampau, sejarah perjuangan kelompok inteligensia ini dalam menentang penjajahan. Sumbangan nama-nama besar seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Syed Shaykh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Abu Bakar Baqir dan tokoh-tokoh yang lain memberi inspirasi kepada perjuangan golongan intelektual yang berprinsip.

Perjuangan mereka adalah perjuangan yang mandiri. Mereka bebas menyatakan pendirian, kritikan atau saranan kepada para penguasa tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mereka juga jauh sekali untuk memperbaiki saranan dan kritikan mereka sesuai dengan kehendak dan citarasa para penguasa.

Kini sudah tiba masanya perjuangan yang dipelopori oleh orang terdahulu kita sambut semula. Seluruh sosok intelektual khususnya mahasiswa dalam negara ini perlu sedar bahawa tanggungjawab para intelektual ialah menyatakan kebenaran dan keadilan setanding dengan nilai keilmuan yang mereka ada. 

Golongan intelektual muda kini tidak terkecuali dalam usaha untuk terus memberi pencerahan kepada masyarakat demi menyaksikan tanahair yang kita cintai ini tertegak di atas norma-norma keadilan dan kebenaran.

Salam kebangkitan anak muda!