Sunday, May 29, 2011

Isu KUIN : PMIUM bersama Pemuda Pas dan Dato' Saifuddin

Tindakan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah mengenakan tindakan tatatertib terhadap 6 orang mahasiswanya sangat mendukacitakan kami di Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, enam mahasiswa kolej itu telah dijatuhkan hukuman gantung pengajian dan seorang darinya dikehendaki membayar denda.

Mahasiswa tersebut, Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.

Seorang lagi, Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin diberi surat amaran dan didenda RM100.

Kesemua mereka didakwa di bawah kesalahan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara (speaker corner) serta mengadakan kenyataan akhbar kepada orang awam berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari menggunakan bangunan tahfiz.

Selaku mahasiswa, saya merasakan tindakan pentadbiran KUIN mengenakan hukuman tersebut kepada enam orang mahasiswa tersebut adalah sangat tidak wajar.

Pendirian Dewan Pemuda Pas Pusat melalui ketuanya, Nasruddin Hassan yang mahu pihak pentadbiran KUIN untuk mengkaji semula tindakan menggantung pengajian lima pelajarnya harus dipandang secara serius oleh pentadbiran KUIN.

Menurut beliau, terdapat cara yang lebih baik bagi menyelesaikan perkara itu dan selain hukuman menggantung pengajian. Tindakan menggantung mahasiswa tersebut dibimbangi akan memberi kesan yang buruk kepada masa depan mahasiswa terbabit.

Kami di peringkat Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyambut baik cadangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Adullah yang mahu menolak sentimen politik dalam menyelesaikan masalah ini.

Di sini kami mencadangkan agar diadakan perbincangan meja bulat antara mahasiswa terbabit bersama Dato’ Saifuddin dan pihak pentadbiran KUIN. Selesaikan masalah ini secara harmoni dan berhemah.

Pandangan Prof Aziz Bari yang menyamakan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasionaldalam isu AUKU juga sangat bertepatan sekiranya isu ini gagal ditangani dengan baik sebagaimana yang dijelaskan beliau sendiri dalam Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/letters/165422

Kami amat berharap isu Mahasiswa KUIN ini dapat diselesaikan dengan kadar segera agar kebajikan mahasiswa terbabit terbela. Hukuman bukan bersifat menghukum, tetapi mendidik orang yang dihukum agar sedar dan insaf akan tindakan yang telah dilakukan oleh mereka.


Penulis,

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib,
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Malaya (PMIUM)

No comments:

Post a Comment