Monday, February 28, 2011

Anak muda bersama kebangkitan rakyat



Bermula dengan kebangkitan rakyat di Tunisia, merebak ke Mesir dan kini gelombangnya telah sampai ke Libya. Anak muda semakin yakin bahawa revolusi ini akan terus melanda dan merubah landskap politik dunia hari ini. 

Seluruh dunia, telah menyaksikan akibat daripada revolusi rakyat yang terlalu hebat ini, kita telah berjaya menjatuhkan rejim kezaliman yang diketuai Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir sebelum ini. Kini, Muammar Ghadaffi sedang menghitung nasib dirinya yang kini berada dalam genggaman rakyat Libya.

Hari ini, jelas kita lihat bagaimana kebangkitan rakyat yang semakin berani bertindak ke atas pemimpin-pemimpin yang zalim setelah sekian lama tertindas dan dizalimi oleh mereka. Dalam era yang serba moden ini, masyarakat dunia semakin bijak dalam menilai dan mengambil tindakan terhadap mereka yang sanggup menggadai intergriti diri demi kepentinganhawa nafsu semata-mata. 

Bahkan, nasib rakyat dan negara dijadikan taruhan bagi mendapatkan keuntungan peribadi dalam memimpin negara. Ini bukanlah cirri-ciri kepimpinan yang dituntut Islam.

Kerana itu, saya semakin yakin dan percaya, kebangkitan rakyat ini merupakan amaran keras daripada masyarakat dunia kepada seluruh pemimpin dunia yang telah menjadikan korupsi dan penindasan sebagai gaya pemerintahan mereka. Ini merupakan simbol kesatuan rakyat demi menjatuhkan kezaliman yang nyata. 

Saya juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang amat tidak bertanggungjawab daripada rejim Muammar Ghadaffi yang telah membunuh  rakyat beliau tanpa sebarang belas kasihan. Kebangkitan rakyat ini tidak lain hanya demi  menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah lama dicabuli.

Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya anak muda dan mahasiswa agar bersama-sama memberi sokongan penuh kepada saudara-saudara kita yang sedang berusaha menuntut erti keadilan dan hak mereka yang sebenar. 

Sewajarnya, pemimpin-pemimpin Malaysia berwaspada dan mengambil iktibar terhadap apa yang telah melanda negara-negara tersebut. Hal ini kerana, kita tidak pernah mampu menafikan kehebatan kuasa luar biasa yang ada pada kelompok rakyat dan masyarakat dari dulu sehinggalah ke hari ini. Kita juga mengharapkan ruh dan semangat revolusi ini turut dirasai seluruh warga Malaysia yang mencintai keadilan.

Akhirnya, saya sekali lagi menyatakan, kami anak muda Malaysia menyokong penuh revolusi rakyat demi keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Kita harus bersatu menjatuhkan rejim kezaliman yang sewenang-wenangnya mengambil kesempatan ke atas golongan marhaen.

Sekian,salam kebangkitan anak muda!

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib
(Setiausaha Politik Presiden PMIUM 2010/2011)

No comments:

Post a Comment