Friday, July 29, 2011

Biometrik daripada poket kuning rakyat!

Saya rasa terpanggil untuk memberi pandangan mengenai isu penggunaan sistem Biometrik yang dicanang-canang akan digunakan dalam PRU-13 akan datang. Bahkan isyarat awal tergambar jelas apabila Perdana Menteri sendiri yang menyatakan akan meluluskan sejumlah peruntukan untuk perbelanjaan sistem ini akan datang.

Saya juga merasa tertanya-tanya apabila Perdana Menteri sendiri difahamkan berpendirian tegas dalam menyokong usaha menggunakan sistem yang belum ternyata telus ini. Beliau dipetik menyebut," Kalau nak buat penambahbaikan kita akan buat. Kita akan buat yang terbaik (dengan menggunakan biometrik bagi memastikan pilihan raya yang adil dan bersih) walaupun negara-negara maju pun tak buat."

Kerajaan seharusnya menerima cadangan yang lebih realistik dalam menangani isu pengundi hantu dan pengundi bertindih (yang boleh mengundi lebih dari sekali). Bahkan telah banyak bukti-bukti jelas yang menunjukkan lemahnya sistem yang sedia ada sekarang. 

SPR juga perlu telus dalam hal ini.Malah Perdana Menteri juga mendakwa bahawa Pakatan Rakyat sengaja membangkitkan isu pilihan raya yang bersih di negara ini ekoran kekalahan parti itu dalam beberapa pilihan raya kecil mutakhir ini di tangan kerajaan.

"Di peringkat nasional, kita (Barisan Nasional-BN) ada masa dapat undi banyak ada masa undi sikit. Tetapi majoriti masih di tangan kita. Kalau kita boleh jamin kita boleh menang, tidak adalah menteri kalah (pilihan raya) dan ada negeri kalah," katanya lagi. 

Kenyataan sinis ini tidak sedikit pun akan memberi kesan kepada tuntutan rakyat selama ini. Ini bukan soal menang atau kalah, ini adalah soal prinsip keadilan yang kita tuntut. Bahkan tuntutan untuk sebuah pilihan raya yang adil dan telus bukanlah satu perkara baru. Malah ia adalah tuntutan tidak berkesudahan rakyat yang terus dinafikan sehingga ke hari ini.

Kenyataan ini senada dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang sering mempertahan bahawa mereka adalah badan yang bebas dan telus namun tidak pula sanggup akur dengan tuntutan rakyat yang selama ini memandang isu ketelusan SPR ini sangat berkait rapat dengan periuk nasi mereka. Pemerintah pula berjalan angkuh dengan permaidani merah mereka!

Bahkan mereka tanpa segan silu melabelkan pembangkang dan Bersih 2.0 mempunyai agenda tertentu di sebalik lapan tuntutan yang dibuat antaranya adalah penggunaan dakwat kekal dalam menangani masalah pengundi hantu. 

Kita yakin, cadangan ini hanya dibakulsampahkan oleh pihak yang berkepentingan ini! Betapa jauh lebih rendah kos penggunaan dakwat kekal ini berbanding sistem biometrik yang ternyata akan menjangkau jutaan ringgit. Ia juga bakal dikaut daripada poket kuning rakyat!

Thursday, July 14, 2011

Kebangkitan golongan intelektual muda



Saya merasakan bahawa kita perlu memberikan konotasi yang kritikal terhadap istilah golongan intelektual muda agar setanding dengan nilai dan fungsi golongan ini terhadap masyarakat. 

Saya tidak mahu menyempitkan ruang lingkup perbincangan dengan hanya meletakkan latarbelakang pengajian sama ada formal atau tidak formal sebagai tanda aras golongan ini.

Pada pandangan saya, apa yang perlu diberi perhatian ialah sejauhmana mereka yang mempunyai latarbelakang pengajian ini memberi kesan terhadap masyarakat dan negara. 

Raja Ahmad Aminullah dalam bukunya Minda Tertawan meletakkan lima ciri penting golongan intelektual, termasuklah memiliki pengetahuan tinggi, mempunyai keupayaan untuk menelaah permasalahan masyarakatnya, mampu mengemukakan saranan-saranan untuk pembaikan, mempunyai komitmen dan iltizam yang tinggi terhadap masyarakat dan mempunyai keupayaan serta keberanian untuk menyampaikan hujah dan nasihat-nasihat kepada penguasa!

Konotasi yang merangkumi ciri yang kritikal ini sepatutnya menyedarkan mereka yang menganggap diri sebagai golongan intelektual mengoreksi semula diri. Mereka yang mengangkat diri sebagai golongan intelektual seharusnya malu jika sekiranya ketinggian pendidikan formal yang sudah mereka capai tidak setanding dengan fungsi mereka kepada masyarakat dan negara.

Lebih memalukan apabila para intelektual sanggup menjual nilai harga intelektual itu demi kepentingan peribadi atau kepentingan periuk nasi. Kita tidak dapat menafikan fenomena para intelektual 'plastik' ini berlaku dalam negara kita. Para intelektual 'plastik' lebih sanggup melihat kehancuran masyarakat dan negara demi memastikan survival mereka terjaga.

Walaubagaimanapun akhir-akhir ini kita sudah mendengar suara-suara keramat kelompok inteligensia yang sudah berani menyampaikan nasihat dan kritikan kepada penguasa. 

Kebangkitan golongan intelektual ini amat mengujakan, bermula dengan tampilnya Sasterawan Negara A. Samad Said, diikuti oleh para sasterawan yang lain. Tidak ketinggalan juga para agamawan muda, para doktor, para peguam, para pensyarah, penjawat kakitangan awam dan lain-lain kelompok yang sedar dan bangkit menentang kezaliman.

Femonena kebangkitan ini mengingatkan kita kepada sejarah lampau, sejarah perjuangan kelompok inteligensia ini dalam menentang penjajahan. Sumbangan nama-nama besar seperti Dr. Burhanuddin Helmi, Syed Shaykh Al-Hadi, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syeikh Abu Bakar Baqir dan tokoh-tokoh yang lain memberi inspirasi kepada perjuangan golongan intelektual yang berprinsip.

Perjuangan mereka adalah perjuangan yang mandiri. Mereka bebas menyatakan pendirian, kritikan atau saranan kepada para penguasa tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Mereka juga jauh sekali untuk memperbaiki saranan dan kritikan mereka sesuai dengan kehendak dan citarasa para penguasa.

Kini sudah tiba masanya perjuangan yang dipelopori oleh orang terdahulu kita sambut semula. Seluruh sosok intelektual khususnya mahasiswa dalam negara ini perlu sedar bahawa tanggungjawab para intelektual ialah menyatakan kebenaran dan keadilan setanding dengan nilai keilmuan yang mereka ada. 

Golongan intelektual muda kini tidak terkecuali dalam usaha untuk terus memberi pencerahan kepada masyarakat demi menyaksikan tanahair yang kita cintai ini tertegak di atas norma-norma keadilan dan kebenaran.

Salam kebangkitan anak muda!

Wednesday, June 8, 2011

SMM : Deklarasi hari Hak Asasi Mahasiswa


Deklarasi Hari Hak Asasi Mahasiswa

1. Mansuhkan AUKU
2. Perlaksaan Pilihan Raya Umum yang Bersih dan Adil
3. Mengguling kuasa hegemoni yang zalim, dan merealisasikan pemerintahan sistem parti bersaling ganti


<Pendahuluan>

Pada hari 8 Jun 2001, seramai 200 orang mahasiswa  berkumpul di Masjid Negara mendesak kerajaan untuk memansuhkan ISA dan menyeru pelepasan tahanan ISA tanpa bersyarat. Pihak polis menggunakan kekerasan untuk menghalang perhimpunan tersebut dan menahankan 7 orang mahasiswa yang terlibat. Akibatnya, 7 orang mahasiswa tersebut telah didakwa ke mahkamah atas kesalahan menyertai perhimpunan haram.

Jadi, 8 Jun  telah dikenali sebagai Hari Hak Asasi Mahasiswa kerana ia merupakan hari pengingatan  terhadap penindasan mahasiswa di Malaysia. Kita perlu  mengingati  peristiwa ini dan meneruskan perjuangan supaya mempertahankan hak asasi mahasiswa  serta menyedarkan mahasiswa/i tentang kepentingan sistem demokrasi sama ada di dalam kampus atau seluruh negara.

Dengan kewujudan ruangan demokrasi dalam kampus , baru dapat memupukkan fikiran terbuka yang lebih matang di kalang Mahasiswa/i. Kami telah banyak melibatkan diri dalam perhimpunan aman seperti himpunan pembantahan ISA , melalui penglibatan diri dalam aktiviti yang menuntut hak asasi manusia sebegini, kami telah memahami bahawa sistem masyarakat dan dasar kerajaan telah dipergunakan oleh pihak pentadbir untuk menekankan kuasa pembantahan.

Mereka yang terdiri di depan perjuangan adalah daripada pelbagai kaum dan latar belakang, di sinilah kami menyedari bahawa setiap manusia adalah insan saksama.

Pemikiran kami adalah sama, semua orang bersatu untuk nenuntutkan kebenaran.
Universiti jarang mengajar kita supaya berjuang demi kebebasan, kesaksamaan dan demokrasi. Perlu berfikir di luar kotak pendidikan, baru kami dapat memahami makna pendidikan, ini adalah masalah pendidikan Malaysia pada hari ini.



1.0 Mansuhkan AUKU

1.1 Memberi Sokongan Kepada Mangsa AUKU

Perjuangan menuntut  Auku dimansuhkan  telah berlangsung selama 40 tahun, dan kebelangkan ini penggunaan AUKU untuk menindas mahasiswa telah bergiat semula.


Universiti Malaya betapa kali berlaku pengenaan tindakan displin AUKU pada tahun ini. Antaranya, penindasan terhadap Pro-Mahasiswa yang menang dalam piliharaya kampus. Wakil palajar Tan Tiong Yih dan Masturah Abu Bakar telah dipanggil hadir ke prosiding atas sebab yang mustahak dan seterusnya mereka yang mengadakan sesi persidangan juga dikenakan tindakan AUKU.


Kini, tindakan university bertambah zalim. Jika berbanding dengan dulu, mereka mengenakan tindakan displin adalah sekadar untuk menakutkan mahasiswa lain, namun sekarang mereka tidak akan ragu-ragu untuk meneruskan tindakan mereka yang zalim itu walaupun tekanan luar yang diberikan adalah tinggi. Hal ini dapat dibuktikan dengan pemanggilan semula prosiding kes UKM 4 pada 13 June.



1.2       Mengembalikan Kesatuan Mahasiswa

Universiti kini menghilangkan kuasa auntonomi. Di bawah AUKU, pihak pentadbiran university dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi manakala Majlis Perwakilan Pelajar tidak mempunyai hak membuat keputusan. Tambahan lagi pihak pentadbiran yang menuduk kepada kuasa Barisan Nasional telah mencabuli kepentingan ahli akademik dan hak asasi mahasiswa.

Sebelum AUKU diwartakan, pihak pentabiran dan ahli akademik university adalah bebas daripada campur tangan politik kerana terdapat pemisahan kuasa antara pihak pentabiran, dan ahli akademik yang ketara, manakala hal ehwal mahasiswa diurus sepenuhnya oleh mahasiswa sendiri.


Suasana pada masa tersebut adalah bebas dan demokratik, dan mahasiswa telah bersama-sama untuk memperjuangkan hak dan kepetingan peneroka Bandar dan golongan miskin seperti peristiwa Teluk Gong, tanpa mengira bangsa dan agama.

Kami bertegas untuk mengembalikan Kesatuan Mahasiswa, kerana Kesatuan Mahasiswa dapat menyatukan mahasiswa. Suara dan kritikan mahasiswa perlu diperdengarkan oleh kerajaan seperti mana mahasiswa England telah mengadakan bantahan terhadap peningkatan kos yuran dan mahasisa Itali telah membantah terhadap pengurangan subdisi pendidikan pada tahun lepas.

AUKU telah menjadi peralatan untuk kerajaan menyalahgunakuasa.Kerajaan sering mengunakan AUKU untuk menakutkan mahasiswa, yang terbaru sekali adalah Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pengajian Tinggi telah menghalang mahasiswa daripada menyertai Perhimpunan Bersih 2.0

1.3       Bantahan Polisi Pengkorporatan Universiti
Barisan Nasional mengkorporatkan IPTA dengan melibatkan diri dalam pentadbiran dan pengurusan yang ditetapkan oleh AUKU. Kini, IPTA mengutamakan prestasi, permintaan dan penawaran pasaran. Secara tidak langsungnya, konsep universiti dan pendidikan kemanusiaan semakin menjauhi daripada mahasiswa/i.


Kita harus mengetahui bahawa penggubal dasar pendidikan adalah golongan bourgeois Barisan Nasional. Oleh itu, kapitalisme mengancam ke dalam sistem pendidikan dan telah menghasilkan golongan yang utilitarianisme. Hal ini juga menyebabkan kita tertumpu kepada kejayaan keseorangan, malah merosotkan keupayaan berfikir bebas, berpandangan cetek dan tidak berprihatin terhadap sistem kemasyaratkan selama ini.


Dalam segi pembelajaran, kursus IPTA yang dapat menyumbangkan kepada ekonomi telah diswastakan. Sebagai contoh, Kuala Lumpur Education Park telah bekerjasama dengan USM untuk membuka Ijazah Tinggi Pengurusan. Sesetengah universiti bekerjasama dengan sektor swasta untuk membuka cawangan kampus dengan "sub-kontrak" kursus kepada IPT tersebut.


Universiti menjalankan pelbagai kajian seperti penciptaan ubat baru yang dapat menyumbang kepada masyarakat, tetapi hasil kajian ini tidak dinikmati oleh orang yang memerlukannya. Hakikatnya, hasil kajian ini dipatenkan oleh syarikat, kemudian dijual kepada pasaran. Oleh itu, syarikat sering memberi bantuan kewangan untuk menggalakkan pembukaan universiti penyelidikan. Secara tidak langsungnya, syarikat telah menentukan corak operasi sesebuah universiti.


Selain mahasiswa/i, staf akademik juga menjadi mangsa dalam perkara ini. Mereka tidak lagi membuat kajian tentang ilmu dan pengetahuan kerana tidak digalakkan. Syarikat tidak menggalakkan kajian yang tidak membawa keuntungan dengan tidak memberi cuti penggal dan kos kajian. Oleh itu, staf akademik mementingkan keputusan pembelajaran dan materialistik lebih daripada kajian yang dapat memanfaatkan. Dalam IPTA, staf akademik menghadapi masalah campur tangan dari segi politik dan birokrasi. Hal ini telah menyebabkan suasana akademik tidak lagi wujud dalam kampus.


Oleh itu, langkah-langkah terhadap pemansuhan AUKU harus dilaksanakan dengan segara untuk memulihkan Kesatuan Mahasiswa dan kuasa autonomi universiti awam. 


2.0 Perlaksaan Pilihan Raya Umum yang Bersih dan Adil
Sistem pilihan raya umum yang bersih dan adil merupakan tuntutan yang amat dipentingkan oleh warganegara kerana ia melibatkan hak pemilihan wakil rakyat.
Penyertaan anak-anak muda dalam pilihan raya umum memainkan peranan yang mustahak dalam pembangunan demokrasi. Kami menyeru rakyat yang berlayak berdaftar menjadi pengundi supaya menjalankan tugas yang diwajibkan bagi masa depan negara. 


Mereka juga diberikan kebebasan dalam penyertaan apa jua kempen atau kumpulan pemantauan pilihan raya umum. Kita harus menyokongkan kempen yang menyeru ketelusan pilihan raya umum supaya menghapuskan taktik helah seperti rasuah, pengundi hantu. Selain itu situasi Malaysia Timur harus mendapatkan keprihatinan terutamanya golongan bumiputera yang tidak dapat berdaftar sebagai pengundi.

3.0       Mengguling kuasa hegemoni yang zalim, dan merealisasikan pemerintahan sistem parti bersaling ganti
Gerakan sivil di Malaysia masih bergelut dengan Kerajaan Barisan Nasional. Isu-isu nasional seperti tanah nadir Lynas yang masih sebelum selesai, timbul pula isu loji kuasa tenaga nuklear, penyelewengan oleh badan penguatkuasaan, isu Interlok dan banyak isu yang masih belum diselesaikan. 

Mengapakah isu-isu ini masih berulang? Ini disebabkan sistem demokrasi Malaysia yang masih belum matang. Dominasi oleh parti politik pemerintah, ketidaktelusan dalam dasar-dasar negara, politik wang, memainkan isu-isu perkauman, monopoli dalam media, serta menggunakan sistem pendidikan untuk mendoktrinkan dan memperbodohkan rakyat.

Matlamat panjang perjuangan rakyat adalah menjurus kepada masyarakat yang bebas dan adil, kini semua gerakan sivil menghadapi suatu halangan besar secara bersama, iaitu kuasa hegemoni oleh Barisan Nasional. Perjuangan yang penting pada kini adalah meruntuhkan kuasa politik Barisan Nasional, supaya melengkapan proses demokrasi.    

Jika rakyat masih percaya terhadap bohongan manis BN dan menyokongnya, maka semua ini akan terulang seperti jurang kekayaan, penswastaan perkhidmatan asas, penyelewengan kuasa dan dasar kroni. Jangan biarkan menyesal pada masa depan, kerana berasa lemah dan takut untuk melakukan perubahan.

Pilihanraya umum yang akan datang merupakan peluang perubahan yang sangat penting. Biarkan kami menggulingkan kuasa hegemoni BN bersama-sama, supaya mengubah sistem masyarakat yang teruk. Negara ini telah menunggukan perubahan dengan masa yang terlalu panjang.

Sunday, May 29, 2011

Isu KUIN : PMIUM bersama Pemuda Pas dan Dato' Saifuddin

Tindakan pentadbiran Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah mengenakan tindakan tatatertib terhadap 6 orang mahasiswanya sangat mendukacitakan kami di Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Dalam perbicaraan tatatertib pada 25 Mei lalu, enam mahasiswa kolej itu telah dijatuhkan hukuman gantung pengajian dan seorang darinya dikehendaki membayar denda.

Mahasiswa tersebut, Mohd Faiz Mohd Arshad digantung dua semester manakala Mohd Aiman Che Ab Razab, Zukhilatif Marzukhi, Mohd Azlan Mat Zain dan Ahmad Remi Md Arof, digantung satu semester dan diberi surat amaran.

Seorang lagi, Mohamad Farhan Bin Mohamad Baharin diberi surat amaran dan didenda RM100.

Kesemua mereka didakwa di bawah kesalahan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) kerana menyertai demonstrasi, memberikan ucapan di hadapan orang ramai menggunakan pembesar suara (speaker corner) serta mengadakan kenyataan akhbar kepada orang awam berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari menggunakan bangunan tahfiz.

Selaku mahasiswa, saya merasakan tindakan pentadbiran KUIN mengenakan hukuman tersebut kepada enam orang mahasiswa tersebut adalah sangat tidak wajar.

Pendirian Dewan Pemuda Pas Pusat melalui ketuanya, Nasruddin Hassan yang mahu pihak pentadbiran KUIN untuk mengkaji semula tindakan menggantung pengajian lima pelajarnya harus dipandang secara serius oleh pentadbiran KUIN.

Menurut beliau, terdapat cara yang lebih baik bagi menyelesaikan perkara itu dan selain hukuman menggantung pengajian. Tindakan menggantung mahasiswa tersebut dibimbangi akan memberi kesan yang buruk kepada masa depan mahasiswa terbabit.

Kami di peringkat Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) menyambut baik cadangan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Adullah yang mahu menolak sentimen politik dalam menyelesaikan masalah ini.

Di sini kami mencadangkan agar diadakan perbincangan meja bulat antara mahasiswa terbabit bersama Dato’ Saifuddin dan pihak pentadbiran KUIN. Selesaikan masalah ini secara harmoni dan berhemah.

Pandangan Prof Aziz Bari yang menyamakan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasionaldalam isu AUKU juga sangat bertepatan sekiranya isu ini gagal ditangani dengan baik sebagaimana yang dijelaskan beliau sendiri dalam Malaysiakini. http://www.malaysiakini.com/letters/165422

Kami amat berharap isu Mahasiswa KUIN ini dapat diselesaikan dengan kadar segera agar kebajikan mahasiswa terbabit terbela. Hukuman bukan bersifat menghukum, tetapi mendidik orang yang dihukum agar sedar dan insaf akan tindakan yang telah dilakukan oleh mereka.


Penulis,

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib,
Presiden,
Persatuan Mahasiswa Islam,
Universiti Malaya (PMIUM)

Saturday, April 23, 2011

Emel percuma untuk rakyat Malaysia, berbaloikah?


Satu lagi siri keputusan terburu-buru yang dibuat oleh kerajaan walaupun Perdana Menteri dengan tegasnya menyebut bahawa dana yang digunakan bagi membangun projek ini  tidak sama sekali menggunakan duit rakyat. 

Nah, kalau bukan duit rakyat soalnya duit siapa? Kerajaan mana yang sediakan peruntukan tersebut? Perkara ini sebenarnya mengelirukan banyak pihak termasuk kakitangan kerajaan sendiri yang belum tentu mampu mengendalikan projek ini dengan jayanya.

Bagi saya bukan emel percuma sebagai pilihan utama kepada rakyat sekarang. Setahu saya banyak lagi pilihan untuk rakyat untuk menggunakan perkhidmatan emel percuma. Sebagai contoh mudah di bank-bank dan perkhidmatan emel daripada universiti pun percuma. Jadi, tidak perlulah kerajaan mewar-warkan inisiatif tersebut yang bagi saya mempunyai kepentingan lain. Nama emel sahaja pun sudah cukup menggambarkan ianya berkepentingan.

Apa yang lebih utama diusahakan pihak kerajaan adalah memperuntukkan internet ke seluruh negara kalau benar-benar ingin jadikan Malaysia sebagai negara maju. Belum pun internet, nak disediakan emel percuma. 

Saya sebutkan internet yang lebih utama dek kerana sumber maklumat yang sangat terhad sekarang menyebabkan rakyat terdedah kepada maklumat-maklumat asas yang boleh jadi benar dan boleh jadi salah. Justeru, saya mencadangkan sediakan internet terlebih dahulu. Sebagai contoh,apa yang sedang diusahakan oleh kerajaan negeri Selangor yang sedang menggiat usaha meluaskan jalur internet ke seluruh negeri Selangor.

Bahkan pelaburan untuk projek ini sehingga mencecah RM50 juta! Seperti yang dipetik dari sebuah laporan akhbar mengenai ucapan Perdana Menteri ;

“ He said that the RM50 million investment would have a GNI impact of RM39 million up to 2015 Further the 1 Malaysia email initiative will allow direct and secure communications between Malaysian citizens and government as well as enhance delivery of public services..”

Soalnya,adakah projek ini adil untuk semua rakyat Malaysia walaupun namanya emel 1 Malaysia? Bagaimana para penduduk di kawasan pedalaman yang kawasannya pun belum tentu mempunyai sumber asas seperti bekalan air bersih dan elektrik ! Hak asasi ini yang perlu pihak kerajaan lebih peka dan prihatin. 

Cuma baru-baru ini saya juga dimaklumkan projek pemberian mini komputer riba secara percuma apabila membuat penyambungan internet pun telah dihentikan oleh pihak kerajaan dengan alasan tidak cukup dana dan kehabisan peruntukan sedangkan projek ini sangat besar manfaatnya untuk rakyat. Janganlah terlalu ghairah mengejar impian sehingga hak asasi rakyat diabaikan. Ibarat kata Karam Sigh Walia, kera dihutan disusukan anak dirumah mati kelaparan!

Bagi saya juga, pendidikan percuma lebih utama diusaha dan diharmonikan oleh kerajaan berbanding sekadar emel percuma yang katanya bakal mengganti surat-surat rasmi kerajaan kepada rakyat Malaysia dalam usaha berjimat cermat. Bagaimana pula masa depan para posmen di Malaysia? Agaknya mereka pula hilang kerja gara-gara surat sudah bertukar dalam bentuk emel !

Sekadar pandangan!

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib
Mahasiswa Tahun Kedua di Universiti Malaya
Penulis adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya sesi 2011/2012

Tuesday, April 5, 2011

Keadilan buat Tiong dan Lee Kee

Seorang mahasiswa, yang digantung pengajian satu semester, ditarik semula biasiswa JPA, dikehendaki membayar semula biasiswa sebanyak RM 20 000, dikenakan denda sebanyak RM 200 oleh pihak universiti di atas tuduhan yang tidak munasabah. Lalu apakah lagi yang diharapkan daripada sebuah universiti?

Saya simpati terhadap nasib yang menimpa Tan Tiong Yih dan Yeong Lee Kee. Sebagai seorang mahasiswa, saya dapat merasai kesusahan, bebanan dan tekanan yang dihadapi mereka. Bagi saya, apalah gunanya tempoh rayuan yang diberikan selama 14 hari jika pihak universiti seolah-olah sudah tekad menghukum mereka sedemikian rupa.

Saya berjumpa sendiri dengan Tiong yang sudah kelihatan kurus dan cengkung. Mana tidaknya, seorang mahasiswa yang lahir daripada keluarga yang sederhana terpaksa menanggung bayaran balik biasiswa dan digantung pengajian hanya di atas tuduhan memalsukan dokumen surat cuti sakit yang digunakan untuk mendapat pengecualian daripada menghadiri bengkel persediaan calon yang diadakan oleh pihak universiti?

Hukuman yang dikenakan seolah-olah kedua mereka sudah membuat suatu jenayah berat. Padahal mereka sendiri tiada peluang membela diri ketika prosiding dijalankan. Saya melihat pihak universiti seperti membalas dendam atas sesuatu sehinggakan kuasa budi bicara Naib Canselor yang bertunjangkan belas ihsan tidak dilenturkan sebaik mungkin. 


Apa yang menghairankan, mereka dituduh atas kesalahan yang kecil bahkan mereka sudah pun tidak mengaku bersalah dan mahu membuat pembelaan diri dengan membawa saksi (saudara Che Rozaihan-pelajar tahun 2 API) yang turut bersama beliau sewaktu hari kejadian. Namun, SEKALI LAGI diNAFIKAN hak untuk membela diri serta menjawab pertuduhan melampau ini.

Lalu apalah gunanya kedua mahasiswa ini mengerahkan tenaga dan masa sehingga mendapat keputusan peperiksaan yang cemerlang sehingga mereka menawarkan diri untuk berbakti kepada masyarakat mahasiswa! (Bertanding pilihanraya kampus).

Apakah tiada langsung simpati dan belas ihsan yang boleh ditawarkan oleh Naib Canselor atas kuasa budi bicara beliau? Jika bebanan ini menimpa anak mereka sendiri, apakah mereka akan terus bertahan tanpa mengalirkan airmata dek kerana tekanan yang sedang dihadapi oleh ibubapa Tiong dan Lee Kee kini?

Bersama menuntut keadilan buat mahasiswa! 

Monday, February 28, 2011

Anak muda bersama kebangkitan rakyat



Bermula dengan kebangkitan rakyat di Tunisia, merebak ke Mesir dan kini gelombangnya telah sampai ke Libya. Anak muda semakin yakin bahawa revolusi ini akan terus melanda dan merubah landskap politik dunia hari ini. 

Seluruh dunia, telah menyaksikan akibat daripada revolusi rakyat yang terlalu hebat ini, kita telah berjaya menjatuhkan rejim kezaliman yang diketuai Ben Ali di Tunisia dan Hosni Mubarak di Mesir sebelum ini. Kini, Muammar Ghadaffi sedang menghitung nasib dirinya yang kini berada dalam genggaman rakyat Libya.

Hari ini, jelas kita lihat bagaimana kebangkitan rakyat yang semakin berani bertindak ke atas pemimpin-pemimpin yang zalim setelah sekian lama tertindas dan dizalimi oleh mereka. Dalam era yang serba moden ini, masyarakat dunia semakin bijak dalam menilai dan mengambil tindakan terhadap mereka yang sanggup menggadai intergriti diri demi kepentinganhawa nafsu semata-mata. 

Bahkan, nasib rakyat dan negara dijadikan taruhan bagi mendapatkan keuntungan peribadi dalam memimpin negara. Ini bukanlah cirri-ciri kepimpinan yang dituntut Islam.

Kerana itu, saya semakin yakin dan percaya, kebangkitan rakyat ini merupakan amaran keras daripada masyarakat dunia kepada seluruh pemimpin dunia yang telah menjadikan korupsi dan penindasan sebagai gaya pemerintahan mereka. Ini merupakan simbol kesatuan rakyat demi menjatuhkan kezaliman yang nyata. 

Saya juga mengecam sekeras-kerasnya tindakan yang amat tidak bertanggungjawab daripada rejim Muammar Ghadaffi yang telah membunuh  rakyat beliau tanpa sebarang belas kasihan. Kebangkitan rakyat ini tidak lain hanya demi  menuntut keadilan dan hak-hak mereka yang telah lama dicabuli.

Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia, terutamanya anak muda dan mahasiswa agar bersama-sama memberi sokongan penuh kepada saudara-saudara kita yang sedang berusaha menuntut erti keadilan dan hak mereka yang sebenar. 

Sewajarnya, pemimpin-pemimpin Malaysia berwaspada dan mengambil iktibar terhadap apa yang telah melanda negara-negara tersebut. Hal ini kerana, kita tidak pernah mampu menafikan kehebatan kuasa luar biasa yang ada pada kelompok rakyat dan masyarakat dari dulu sehinggalah ke hari ini. Kita juga mengharapkan ruh dan semangat revolusi ini turut dirasai seluruh warga Malaysia yang mencintai keadilan.

Akhirnya, saya sekali lagi menyatakan, kami anak muda Malaysia menyokong penuh revolusi rakyat demi keadilan dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Kita harus bersatu menjatuhkan rejim kezaliman yang sewenang-wenangnya mengambil kesempatan ke atas golongan marhaen.

Sekian,salam kebangkitan anak muda!

Muhammad Safwan Bin Anang @ Talib
(Setiausaha Politik Presiden PMIUM 2010/2011)