Tuesday, February 14, 2012

Kontroversi Valentines Day : Kita yang tidak bijak




Sejak dua tiga hari kebelakangan ini, timeline di Twitter dibanjiri dengan diskusi dan perbincangan pelbagai sudut bertemakan Valentines Day. Ada yang keras-kerasan menghukum haram dan berkempen 'No-Valentines' dan ada juga yang keras-kerasan mempertahankan sambutan Hari Kekasih ini.


Tetapi di sana ada juga yang termangu-mangu atau blur, mengapa sambutan hari bertemakan cinta ini sampai dihukum haram? Salahkah?


Apa yang saya amati ialah ramai yang cenderung menyempitkan perbincangan sekitar ruang lingkup halal haram berbanding memberi perhatian terhadap ruang lingkup yang lebih mendatangkan kebaikan seperti Fiqh Dakwah.


Al-Quran, Petunjuk yang agung bagi seluruh umat manusia menggambarkan kepada kita kelembutan dalam menghadapi 'mereka' yang biasanya kita anggap 'tidak faham' sepertimana kita memahami.


"Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati tentulah mereka lari dari kelilingmu.." (Ali Imran : 159)




Kita tidak bijak mengatakan 'Jangan'


Bayangkan, di tengah-tengah keseronokan anak muda dan remaja tenggelam dalam percintaan mereka, kita bagaikan malaikat memberi amaran keras dengan mengatakan,

"HARAM menyambut Hari Kekasih. Jika kamu sambut, hukumnya berdosa. Ini berdasarkan fatwa.. bla..bla.."

Psikologi anak remaja, jika kita halang, lagi seronok mereka buat. Itu tanda protes kepada cara kita yang tidak bijak mengatakan 'jangan'.

Nabi s.a.w sendiri berdakwah dengan penuh cinta. Pernah Anas b. Malik r.a menceritakan suatu ketika sedang mereka bersama Nabi di masjid, datang seorang Arab Badwi. Lalu dia berdiri dan kencing di masjid.

Hal ini membangkitkan kemarahan para sahabat yang menganggap perbuatan Arab Badwi ini 'biadap' lalu mereka menggertaknya. Tetapi betapa hikmahnya Rasulullah, beliau tidak terus memarahi Arab Badwi tersebut dengan menyatakan "jangan kencing di sini".

Nabi s.a.w dengan penuh cinta bersabda kepada para sahabat :

"Janganlah kamu menghentikannya. Biarlah dia selesai terlebih dahulu."

Setelah itu Nabi s.a.w sendiri bertemu Arab Badwi dan menasihatinya. (Hadith Riwayat Muslim, 2/133, No. 429)

Tunjukkanlah cara yang benar untuk bercinta

Isteri saya memberikan pendapat beliau dalam status di Facebook, sehingga mendapat perhatian seorang rakan berbangsa Cina yang kemudian turut berkongsi status tersebut di Facebook beliau.

"Jika kita tunjukkan jalan bagaimana cara yang benar untuk bercinta, lebih lembut dan mesra dakwah kita. Berbanding kita keras-kerasan menolak hari kekasih. Islam itu agama yang penuh cinta, agama rahmat bagi yang bercinta dan mencintai orang yang saling bercinta."

Benarlah. Kelompangan 'faham Islam' ini tidak boleh kita tanggapi dengan cara menghukum orang yang tidak faham. Sebaliknya, kita sebagai orang yang faham harus memberi cara yang terbaik bagaimana mereka boleh bercinta secara halal.

Lalu saya melontar pandangan di ruangan komentar,

Di jalan cinta para pejuang, Islam mendidik ummahnya terus-terusan dalam berkorban. Tidak saling menyalah, bahkan akui lemahnya jalan dakwah kita sekarang. Tidak subur dengan kasih sayang. Ayuh, mari kita mulai cinta jalan dakwah ini.


Safwan Anang
Presiden PMIUM
Timbalan Presiden GAMIS

Monday, December 5, 2011

Pra PRU13 : Calon boleh menang perspektif mahasiswa






Mutakhir ini, perbincangan mengenai calon pilihanraya umum mula dibangkitkan di peringkat parti, tidak kira kerajaan atau pembangkang. Di peringkat penganalisa politik, akar umbi dan kepimpinan parti mencadangkan agar calon boleh menang diketengahkan bahkan sehingga dilobi-lobi calon yang sedang naik popularitinya.


Calon boleh menang perspektif mahasiswa adalah mereka yang boleh mengembalikan ketulenan demokrasi yang bebas, bersih dan telus di Malaysia. Ketulenan ini termasuklah mempunyai prinsip yang jelas terhadap ideologi yang dianuti. Manifesto yang bakal dibawa bukan bersifat menggula-gulakan mana-mana pihak samada rakyat marhaen, mahupun mahasiswa dalam kerangka anak muda.


Dalam kerangka universiti dan kemahasiswaan, mahasiswa inginkan calon boleh menang yang mampu mengembalikan autonomi universiti, autonomi mahasiswa dan kebebasan akademik seperti yang tertakluk dalam tuntutan mahasiswa yang sedang kita usahakan.


Sehingga ke hari ini, kedua-dua pihak sama ada kerajaan Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat gagal memberi pendirian dan keputusan yang jelas berkenaan tuntutan pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). 


Sebagai contoh yang terpampang, apabila PR ingin mansuhkan AUKU tetapi dalam masa sama masih di sabitkan kesalahan AUKU terhadap 6 orang mahasiswa daripada KUIN di Kedah, salah sebuah negeri Pakatan Rakyat. 


 Pengumuman PM Najib untuk meminda seksyen 15 AUKU juga kelihatan retorik apabila rayuan kabinet terhadap kes UKM4 juga akan diteruskan. Nah, siapa yang mengguna-gunakan AUKU dan siapa ingin membebaskan mahasiswa daripada AUKU sebenarnya?


Di atas prinsip yang jelas, mahasiswa yang merupakan pengundi muda tidak teragak-agak untuk hanya memberikan undi kepada mereka yang jelas menyatakan pendirian terhadap kesemua tuntutan mahasiswa.


Tuntutan tersebut termasuklah, pemansuhkan AUKU dan akta yang terlibat, bebaskan ilmuan berakademik, bebaskan mahasiswa bersuara, memberi autonomi kepada mahasiswa untuk mengurus pilihanraya kampus serta mengurus tadbir persatuan dan aktiviti sendiri.




Muhammad Safwan b. Anang@Talib
Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)


Presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya


Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS)

Thursday, December 1, 2011

Pindaan AUKU tidak relevan




Saya berpendirian bahawa terdapat satu perkara penting yang harus kita teliti dalam menanggapi pengumuman Perdana Menteri baru-baru ini mengenai pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Perkara tersebut ialah berkenaan kebenaran menyertai parti politik.

Merujuk kepada pengumuman Perdana Menteri pada 24 November di Dewan Rakyat, beliau menyebutkan bahawa kerajaan akan meminda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik.

Saya menggariskan tafsiran menyertai parti politik dengan makna seseorang mahasiswa diberi ruang dan dibolehkan menjadi ahli sesebuah parti politik, memegang jawatan tertentu di dalam parti politik atau bergerak secara aktif membantu parti politik serta apa sahaja kegiatan lain di dalam parti politik tertentu yang dianggotainya.

Walaubagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa menyertai parti politik bukanlah tuntutan utama dalam perjuangan mahasiswa menentang AUKU yang sudah berusia 40 tahun.

Saya ingin kerajaan melihat akta tersebut dengan pandangan mengakar dan mendasar. Perjuangan mahasiswa menuntut pemansuhan AUKU bukanlah hanya berbasiskan semangat ingin menganggotai parti politik.

Mahasiswa meletakkan beberapa prinsip jelas dalam menentang AUKU termasuklah menjunjung semangat perlembagaan negara yang menjamin hak kebebasan bagi warganegara. Dengan mewujudkan AUKU, kerajaan dengan sengaja menentang hak kebebasan yang diperuntukkan di dalam perlembagaan.

Antara lain, kedudukan mahasiswa sebagai mahasiswa itu sendiri meletakkan suatu garis yang jelas bahawa mahasiswa adalah mereka yang berilmu yang mempunyai nilai keintelektualan dan mempunyai kedudukan tersendiri dalam kalangan masyarakat. Maka dengan nilai yang tersendiri ini, mahasiswa secara rasminya diberi mandat oleh masyarakat untuk memainkan peranan sesuai dengan nilai mereka.

Sebagai contoh, mahasiswa diberi mandat sebagai agen semak imbang dalam negara. Dalam hal ini, mahasiswa seharusnya bebas dengan penuh tanggungjawab menyatakan pandangan, cadangan mahupun kritikan terhadap apa jua dasar dan polisi dalam sektor ekonomi, politik sosial dan lain-lain yang diputuskan dalam negara. 

Kebebasan dalam peranan 'check and balance' ini memberi erti bahawa mahasiswa tidak boleh diambil tindakan terhadap sebarang kenyataan yang dikeluarkan walaupun bersifat kontroversi, bertentangan dengan kerajaan atau pandangan awam di dalam atau di luar universiti.

Dua prinsip asas iaitu kebebasan dan ilmu ini menjadi tonggak perkembangan tamadun sesebuah negara. Negara yang maju dari sudut peradabannya adalah negara yang memberikan ilmuan kebebasan untuk bertindak atas rasional ilmiahnya hanya untuk kemaslahatan masyarakat. Kenyataan berasaskan hujah, kajian empirikal, penaakulan, observasi adalah tiang peradaban bagi negara yang menjunjung nilai keilmuan.

Dengan asas dua prinsip inilah maka mahasiswa menuntut agar AUKU dimansuhkan. Pandangan alam mahasiswa terhadap rasional tuntutan pemansuhan AUKU lebih luas daripada apa yang kerajaan fikirkan. 

Maka, dengan pandangan ini jugalah mahasiswa memandang pengumuman Perdana Menteri untuk meminda AUKU dengan matlamat membenarkan mahasiswa menyerti parti politik adalah tidak relevan dengan beberapa alasan.

Pertama, AUKU itu sendiri secara tidak langsung menafikan hak kebebasan dan nilai keilmuan mahasiswa dan para ahli akademik.

Kedua, matlamat membenarkan mahasiswa menyertai parti politik dengan tidak meminda keseluruhan akta yang berkait dengan hak kebebasan berakademik adalah berbaur kepentingan politik parti kerajaan.

Ketiga, mahasiswa menuntut AUKU dimansuhkan, bukan hanya dipinda.


Muhammad Safwan bin Anang Talib
Pengerusi
Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS)

Wednesday, November 30, 2011

BEBAS bantah undang-undang himpunan awam - PMIUM


Kuala Lumpur, 29 Nov 2011 : Hari ini Front BEBAS yang dipengerusikan oleh saudara Muhammad Safwan Anang@Talib dan sekumpulan mahasiswa berhimpun  bagi meluahkan bantahan terhadap penggubalan Akta Perhimpunan Aman 2011.
Perhimpunan ini disertai juga  Peguam-peguam di seluruh negara yang berada di bawah naungan Majlis Peguam Malaysia di Kelab Taman Perdana Diraja, Kuala Lumpur.
Turut sama hadir dalam perhimpunan bantahan ini adalah Ahmad Syukri Abd Razak (SMM) dan saudara Termizi (Pro M UPM) menyatakan bantahan terhadapa penggubalan terhadap akta tersebut kerana perkara ini telah melanggar hak dan demokrasi mahasiswa dan rakyat dalam menyuarakan pandangan.
NONERang undang-undang yang akan dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini untuk bacaan kali kedua dijangka akan diundi pada malam ini.
Sementara itu , Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee menyatakan rang undang-undang itu akan merampas hak rakyat yang dijamin oleh perlembagaan.
Tambah beliau ,peguam di seluruh negara tidak sepatutnya hanya menyaksikan kebebasan rakyat disekat tanpa membuat sebarang tindakan.
Justeru, Majlis Peguam Malaysia telah mengerahkan anggotanya supaya berkumpul di Kelab Taman Perdana Diraja dan akan berjalan kaki menuju ke Parlimen sebagai menunjukkan bantahan mereka meskipun bersetuju membuat beberapa pindaan kecil.
Perarakan yang dinamakan ‘Walk for Freedom’, menyaksikan peguam-peguam berjalan sejauh kira-kira dua kilometer menuju ke bangunan Parlimen bermula jam 11.30 pagi ini.-pmium
Sumber : berita pmium

Tuesday, November 22, 2011

Pelancaran BEBAS : Kenyataan Media

Mahasiswa lancar BEBAS tuntut bebaskan akademik


KUALA LUMPUR, 22 Nov: Gabungan beberapa gerakan mahasiswa hari ini melancarkan 'Gerakan menuntut kebebasan akademik' atau Bebas dalam usaha memperjuangkan hak dan kebebasan mahasiswa dan ahli akademik.Sempena pelancaran gerakan itu, mereka yang terdiri daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), Kelab Rakan Siswa Islah Malaysia (Karisma), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (Kami) serta Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), telah menyerahkan satu memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) di pejabag suruhanjaya itu di ibu negara pagi tadi.

Turut serta dalam Bebas adalah Pro Mahasiswa Nasional (ProMN), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) dan Kesatuan Aksi Mahasiswa (Aksi).

Menurut satu kenyataan yang dihantar kepada Harakahdaily, Pengerusinya, Muhammad Safwan Anang Talib berkata, terdapat dua prinsip asas yang diperjuangkan Bebas.

Pertama katanya, adalah bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.

"Kedua, institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib," katanya.

Sementara itu, dalam memorandum yang turut diserahkan kepada Suhakam pula, mereka menuntut enam perkara pokok yang ditafsirkan sebagai kebebasan kepada mahasiswa dan golongan akademik.

Ianya termasuk memansuhkan AUKU dan AKTA 174, membebaskan ilmuan berakademik, membebaskan mahasiswa bersuara, memberi hak mahasiswa mengurus pilihan raya kampus, membebaskan mahasiswa mengurus persatuan dan aktiviti dan memberi hak kepada mahasiswa berpartisipasi dalam politik. 



Sumber : Harakahdaily




Mahasiswa tubuh bebas tuntut hak


PETALING JAYA: Sebuah NGO baru Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik atau Bebas dilancarkan bagi menuntut kebebasan akademik di negara ini.


Bebas dipengerusikan Muhammad Safwan Anang Talib manakala Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai jurucakap.
Penubuhan Bebas disokong 10 persatuan mahasiwa termasuk Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Universiti Malaysia (PMIUM).
Selain kebebasan akademik, NGO pelajar universiti itu juga menuntut kebebasan dalam penyertaan politik termasuk menguruskan pilihan raya kampus.
Perjuangan Bebas berdasarkan  dua prinsip sebagai asas kebebasan berakademik :
. Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum.
. Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib.

Mansuhkan Auku

Ini bermakna Bebas menuntut kerajaan memansuhkan Akta Universiti Kolej Universiti (Auku) dan Akta 174.
Katanya, peruntukan-peruntukan dalam Auku 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia.
“Ia juga  mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa,” kata Bebas  dalam satu kenyataan media hari ini.
Bebas menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan.
Para ilmuan menurut kenyataan itu mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.
“Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.
“Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan,” kata kenyataan itu lagi.

BEBAS : Prinsip Asas dan 6 Tuntutan

Jawatankuasa Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) bersetuju untuk meletakkan dua prinsip utama yang menjadi asas kepada gerakan kebebasan akademik, iaitu :


1. Bahawa ahli akademik, sama ada di dalam atau di luar bilik kuliah, memiliki kuasa yang tidak terbatas untuk mempersoal, menguji idea dan mengeluarkan kenyataan kontroversi dan tidak popular tanpa mengira sama ada pendapat tersebut bercanggah atau tidak dengan pendapat umum


2. Institusi akademik tidak berhak untuk mengekang kebebasan akademik dalam kalangan kakitangan universiti atau menggunakan praktis kebebasan akademik sebagai sebab untuk mengenakan tindakan tatatertib


Jawatankuasa BEBAS juga menyenaraikan 6 tuntutan utama gerakan, iaitu :


1) Mansuhkan AUKU dan AKTA 174


BEBAS berpendirian bahawa AUKU dan AKTA 174 perlu dimansuhkan berdasarkan dua teras berikut :


a. Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 membunuh aktivisme mahasiswa Malaysia


b. Peruntukan-peruntukan dalam Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (pindaan 2009) dan Akta 174 yang mencabuli hak-hak asasi manusia khususnya mahasiswa


2) Bebaskan ilmuan berakademik


BEBAS menuntut hak kebebasan berakademik bagi para ilmuan dalam perkara-perkara berikut :


a. Para ilmuan mempunyai kebebasan untuk mengajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.


b. Para ilmuan mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.


c. Para ilmuan bebas berkhidmat tanpa terikat dengan mana-mana perjanjian yang bertentangan dengan hak kebebasan berakademik yang dijamin perlembagaan


3. Bebaskan mahasiswa bersuara

BEBAS menuntut mahasiswa diberi kebebasan bersuara dalam kerangka berikut:

a.   Mahasiswa mempunyai kebebasan untuk belajar dan membuat kajian dalam persekitaran akademik tidak kira sama ada kajian tersebut bersifat kontroversi atau tidak popular serta bercanggah dengan pendapat umum khususnya mana-mana kuasa politik di dalam negara.

b. Mahasiswa mempunyai kebebasan menyatakan pendapat, mengeluarkan pandangan, menyatakan kritikan terhadap apa jua isu berasaskan pandangan intelektual hasil daripada kajian, observasi dan penilaian mereka sama ada di dalam atau di luar universiti.

c.    Mahasiswa bebas menjalankan apa jua aktiviti seperti demonstrasi, himpunan aman, rapat umum, seminar, diskusi dan lain-lain aktiviti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka

4. Bebaskan mahasiswa mengurus pilihanraya kampus

BEBAS menuntut supaya :

a.  Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk menjalankan pilihanraya kampus sendiri bagi memilih perwakilan pelajar yang bakal memimpin persatuan atau badan induk kepimpinan pelajar.

b.      Proses pemilihan pelajar ini dijalankan tanpa sebarang campurtangan daripada mana-mana pihak sama ada dari sudut sistem, teknikaliti, kempen, pembuangan undi, pencalonan dan lain-lain elemen dalam proses pemilihan yang hanya melibatkan mahasiswa.

5)      Bebaskan mahasiswa mengurus tadbir persatuan dan aktiviti

BEBAS menuntut supaya :

a.     Mahasiswa diberi autonomi atau kuasa untuk mengurus tadbir persatuan dan aktiviti persatuan atas kapasiti mahasiswa sendiri.

b.      Urus tadbir ini dijalankan oleh mahasiswa tanpa sebarang campurtangan mana-mana pihak termasuk pihak pentadbiran universiti.

c.       Hal ini merangkumi segala bentuk pentadbiran persatuan dan aktiviti, kewangan dan perbelanjaan, dana dan tajaan, pengisian dan aktiviti, penerbitan dan publisiti serta apa jua elemen-elemen lain di dalam urus tadbir persatuan.

6)      Bebaskan mahasiswa berpartisipasi dalam politik

BEBAS menuntut mahasiswa diberikan kebebasan berpartisipasi dalam politik sebagaimana berikut :

a.      Melibatkan diri atau menjalankan seminar dan diskusi yang membincangkan soal-soal politik, ekonomi dan sosial di mana mahasiswa berbincang dengan tokoh-tokoh politik dan pensyarah.

b.      Mahasiswa bebas mengemukakan resolusi, cadangan atau kritikan bercorak politik dibentang dan dikeluarkan untuk tatapan umum dan kerajaan.

c.       Mahasiswa bebas menjalankan penerbitan akhbar, majalah dan risalah atau kenyataan akhbar di mana mahasiswa menyuarakan cita-cita politik mereka.
Mahasiswa bebas menjalankan dan menyertai apa jua aktiviti di dalam dan luar universiti di mana mahasiswa menyampaikan pandangan dan idealisme perjuangan mereka. 


Muhammad Safwan b. Anang @ Talib
Pengerusi
Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademik
BEBAS

Gerakan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Berakademik (BEBAS)


Kebebasan berakademik adalah hak kebebasan yang diperuntukkan bagi ahli akademik bagi mengemukakan pandangan dengan apa jua ekspresi sesuai dengan standard profesionalisme yang dimiliki (Donald A. Downs, 2009). 

Hal ini lahir daripada tanggungjawab ahli akademik untuk bercakap dan mencabar idea konvensional dalam usaha memaknakan universiti sebagai model medan perdebatan terbuka kepada masyarakat umum.

Bertitik tolak daripada konotasi ini, kebebasan berakademik adalah terpakai bagi seluruh warga universiti termasuk mahasiswa, para pensyarah malah pihak universiti sendiri.  

Hak kebebasan berakademik ini dilindungi sepenuhnya oleh demokrasi liberal dengan meletakkan manusia boleh mendapatkan kebenaran dan ilmu tanpa batas. Hak ini juga selari dengan ruang hak yang diperuntukkan di dalam perlembagaan negara dan dijamin sepenuhnya oleh hak asasi manusia sebagaimana berikut :

(a) Every citizen has the right to freedom of speech and expression;
(b) all citizens have the right to assemble peaceably and without arms;
(c) all citizens have the right to form associations.

Justeru, mahasiswa dengan komited memperjuangkan hak kebebasan akademik melancarkan sebuah Gerakan Menuntut Kebebasan Berakademik (BEBAS) pada 22 November 2011 dan memorandum BEBAS diserahkan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM)


BEBAS turut disokong oleh front-front mahasiswa, termasuklah :

SOLIDARITI MAHASISWA MALAYSIA (SMM)
PERSATUAN MAHASISWA ISLAM UNIVERSITI MALAYA (PMIUM)
KELAB RAKAN SISWA ISLAH MALAYSIA (KARISMA)
KUMPULAN AKTIVIS MAHASISWA INDEPENDEN (KAMI)
GERAKAN DEMOKRATIK BELIA DAN PELAJAR MALAYSIA (DEMA)
PRO-MAHASISWA NASIONAL (PRO-MN)
MAJLIS PERWAKILAN MAHASISWA NASIONAL (MPMN)
LEGASI MAHASISWA PROGRESIF (LMP)
KESATUAN AKSI MAHASISWA (AKSI)